Kebangkitan dan kejatuhan Muhyiddin Yassin

Kebangkitan dan kejatuhan Muhyiddin Yassin

Muhyiddin Yassin yang dilantik menjadi PM pada 1 Mac 2020, meletak jawatan selepas kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

PETALING JAYA:
Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai perdana menteri Malaysia ke-8 di tengah-tengah tekanan hebat daripada Umno dan parti pembangkang lain yang menuntut beliau berbuat demikian.

Peletakan jawatannya juga bermakna usul undi percaya di Dewan Rakyat pada September tidak lagi diperlukan dan ini menandakan berakhirnya penggal terpendek seorang perdana menteri dalam sejarah negara.

FMT mengimbau kebangkitan dan kejatuhan Muhyiddin Yassin:

  • Dilahirkan pada 15 Mei 1947 di Muar, Johor.
  • Tamat pengajian di Universiti Malaya dengan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Ekonomi dan Pengajian Melayu pada 1971.
  • Sebelum tamat pengajian, beliau menjadi penjawat awam sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, kemudian Penolong Pegawai Daerah Muar pada 1974.
  • Pada 1971, beliau menyertai Umno sebagai ahli biasa di Bahagian Pagoh.
  • Memulakan kerjaya politik pada 1978 apabila dilantik menjadi Ahli Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum (PRU) ke-5.
  • Dilantik menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada 1982.
  • Pada 1986, beliau memenangi kerusi DUN Bukit Serampang tanpa bertanding dan dilantik menjadi Menteri Besar Johor ke-13.
  • Belum sedekad menjadi MB Johor, beliau dilantik menjadi Menteri Belia dan Sukan dari 1995 hingga 1999.
  • Pada 1999, beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada 2004.
  • Beliau memegang jawatan ini hingga 2008 sebelum dilantik menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri hingga 2009.
  • Pada April 2009, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri apabila Najib Razak memegang jawatan tertinggi negara. Beliau turut diberi portfolio pendidikan dan menjadi Timbalan Presiden Umno.
  • Pakatannya dengan Najib berakhir pada 2015 setelah beliau disingkirkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam satu rombakan Jemaah Menteri atas kritikannya berhubung skandal 1MDB.
  • Pada 2016, Muhyiddin dipecat daripada Umno atas “kesalahan disiplin”.
  • Pada tahun sama, beliau berganding bahu dengan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, untuk menubuhkan Bersatu. Beliau menjadi presiden parti baharu itu, manakala Mahathir menjadi pengerusinya.
  • Bersatu kemudian menyertai Pakatan Harapan (PH) bersama tiga parti pembangkang lain, iaitu PKR, DAP dan Amanah, menjelang PRU14 pada 2018.
  • Selepas memenangi PRU, Mahathir menjadi Perdana Menteri dan menjadikan Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri.
  • Beliau memegang jawatan berkenaan hingga 24 Feb 2020, iaitu pada hari Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, sekali gus menyaksikan kejatuhan pentadbiran Pakatan Harapan (PH)
  • Pada hari sama, Muhyiddin, sebagai presiden Bersatu, menarik parti berkenaan keluar daripada gabungan PH dan mula bekerjasama dengan Umno, PAS, dan Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk pakatan baharu bagi memimpin negara.
  • Langkah berkenaan, yang dikenali sebagai “Sheraton Move” berhasil dan Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac 2020.
  • Pada 17 Mac 2020, para pemimpin Bersatu, Barisan Nasional (BN), GPS, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan STAR menandatangani memorandum persefahaman yang mengukuhkan kerjasama politik mereka melalui PN.
  • Parti Perikatan Nasional didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020, walaupun BN, GPS dan PBS tidak menjadi komponen.
  • Susulan kebangkitan PN, pilihan raya negeri (PRN) diadakan di Sabah pada 26 Sept 2020, dengan Gabungan Rakyat Sabah, yang terdiri daripada Bersatu, Umno dan PBS, merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Warisan.
  • Dengan Bersatu memimpin Sabah, hubungan dengan Umno mulai merosot dan keadaan diburukkan lagi dengan kejatuhan Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak, yang didalangi Umno.
  • Pemilihan parti Bersatu pada Ogos 2020 menyaksikan Muhyiddin mempertahankan jawatan Presiden tanpa bertanding.
  • Di tengah-tengah ketegangan dan susulan kontroversi mengenai pembatalan Ordinan Darurat, Umno menarik sokongannya kepada kerajaan PN.
  • Desakan untuk Muhyiddin meletak jawatan semakin kuat selepas lebih ramai Ahli Parlimen mengumumkan mereka menarik sokongan kepadanya, ditambah dengan peletakan jawatan dua menteri Umno.
  • Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos 2021.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.