MKT Umno akan tentukan calon PM, kata Khaled

MKT Umno akan tentukan calon PM, kata Khaled

Naib Presiden Umno itu berkata beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada satu mesyuarat khas MKT Umno akan diadakan sejurus selepas Muhyiddin meletakkan jawatan.

Mohamed Khaled Nordin berkata, calon perdana menteri hanya ditentukan oleh MKT Umno, bukan oleh mana-mana individu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Hanya Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sahaja yang akan menentukan nama calon perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin meletak jawatan, bukan oleh mana-mana individu, kata Naib Presidennya, Mohamed Khaled Nordin.

Khaled berkata, beliau bagaimanapun tidak pasti sama ada satu mesyuarat khas MKT Umno akan diadakan sejurus selepas Muhyiddin meletakkan jawatan.

“MKT akan tentukan (siapa calon perdana menteri),” kata Khaled seperti dilaporkan Berita Harian.

Difahamkan, terdapat pertemuan pemimpin utama Umno di ibu pejabat parti itu semalam dan keputusan meletakkan calon perdana menteri antara yang diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

Menurut Berita Harian, pertemuan yang berlangsung lewat petang semalam itu dihadiri Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi serta timbalannya, Mohamad Hasan selain tiga naib presiden, Ismail Sabri Yaakob, Mahdzir Khalid dan Khaled tanpa kehadiran pemimpin lain.

Setiausaha Kerja Umno, Mohd Sumali Reduan turut mengesahkan pertemuan pemimpin utama parti itu semalam.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin di Hotel Royal Chulan Kuala Lumpur, dipercayai berhubung rancangan pembentukan kerajaan baharu.

Perjumpaan itu menyusul selepas mesyuarat Ahli Parlimen Bersatu setelah Muhyiddin meluahkan hasrat meletak jawatan sebagai perdana menteri dan dijangka menghantar surat peletakan jawatan apabila menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Pertemuan di Royal Chulan itu dilaporkan bagi mengumpulkan surat akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen untuk menyokong Ismail sebagai perdana menteri.

Antara yang menandatangani SD sedemikian adalah Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz yang dilaporkan berkata, beliau menandatangani dokumen berkenaan hari ini.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sejauh masa usaha menampilkan Ismail sebagai calon perdana menteri menggantikan Muhyiddin akan berhasil. Ismail dilantik sebagai timbalan perdana menteri Julai lalu.

Menurut laporan, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah juga disebut sebagai calon perdana menteri yang ditampilkan dengan sokongan parti itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.