PM daripada Kabinet Muhyiddin resipi ‘Kerajaan Gagal 2.0’, kata penganalisis

PM daripada Kabinet Muhyiddin resipi ‘Kerajaan Gagal 2.0’, kata penganalisis

Penganalisis berkata sesiapa pun yang akan menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri harus dipilih daripada luar anggota Jemaah Menteri.

Spekulasi kencang mengatakan Tengku Razaleigh Hamzah (kiri) dan Ismail Sabri Yaakob adalah nama yang disebut sebagai pengganti sekiranya Muhyiddin Yassin berundur.
PETALING JAYA:
Perdana menteri yang dilantik daripada kerajaan sedia ada, sekiranya penyandangnya Muhyiddin Yassin berundur hari ini, adalah resipi kepada “Kerajaan Gagal 2.0”, kata seorang penganalisis politik.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, sekiranya pentadbiran Muhyiddin tumbang, hakikatnya ia bukan semata-mata kerana Umno menarik balik sokongan terhadap beliau.

“Ia juga kerana ketidakcekapan kerajaan dalam menangani pandemik dan memulihkan ekonomi.

“Kita jangan lupa bahawa usaha Umno menjatuhkan kerajaan ini mendapat sokongan daripada akar umbi dan rakyat.”

Jadi katanya, sesiapa yang dilantik sebagai perdana menteri berikutnya mestilah seseorang yang kompeten dan mempunyai Jemaah Menteri yang mampu menangani krisis kesihatan dan ekonomi yang dihadapi negara.

“Dalam erti kata lain, ia haruslah seseorang dari luar anggota Jemaah Menteri yang sudah tiada fungsi ini. Jika tidak, ia akan menjadi ‘Kerajaan Gagal 2.0’ dan penderitaan rakyat akan lebih melarat.”

Spekulasi semakin kencang mengenai siapa yang akan menggantikan Muhyiddin sekiranya Ahli Parlimen Pagoh itu meletakkan jawatan hari ini, dengan beberapa nama disebut termasuk Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pemimpin utama.

Selain itu, nama Menteri Kanan Keselamatan Hishammuddin Hussein dan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim turut disebut.

Bagaimanapun, persoalan mengenai siapa yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat, masih belum lagi terjawab.

Muhyiddin yang didesak berundur oleh pembangkang dan Umno sejak beberapa minggu lalu dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong tengah hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.