
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dipetik Berita Harian berkata mangsa lelaki yang meninggal dunia itu berusia 60 tahun yang identitinya belum dikenal pasti.
“Kejadian tanah runtuh di Gunung Jerai pula, dua mangsa dijumpai (selamat) dan seorang masih hilang.
“Bagi kejadian rumah runtuh di Chalet Salak Denai, seorang masih hilang dan terdapat mangsa terperangkap di atas bumbung rumah di Kampung Setoi,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri membuka Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir kilat Yan yang akan dibahagikan kepada tiga kategori membabitkan mangsa yang positif Covid-19, mangsa yang dikuarantin dan yang biasa.
Katanya, siasatan awal mendapati seramai 14 mangsa yang dipindahkan adalah positif Covid-19, 45 mangsa yang dikuarantin dan 60 mangsa biasa.
“Mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan dan Sekolah Kebangsaan (SK) Teroi.
“Mangsa yang positif tempatkan di SK Teroi dan mangsa biasa di SMKA Yan,” katanya.
Muhammad Sanusi berkata, kejadian banjir berpunca dari hujan lebat berterusan di kawasan Gunung Jerai dengan air mengalir laju turun ke kaki gunung dan masuk ke Sungai Kunyit, Sungai Teroi dan Sungai Puteri Mandi.
Katanya, berikutan itu banjir melanda kawasan berhampiran Sungai Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh dan Kampung Setoi.
Sementara itu, Bernama melaporkan 19 kakitangan resort berkenaan terkandas di puncak Gunung Jerai selepas laluan turun ke kaki gunung terputus akibat tanah runtuh.
Seorang kakitangan yang hanya mahu dikenali sebagai Hisyam, 32, berkata kesemuanya tidak dapat pulang ke rumah masing-masing, dan terpaksa bermalam di atas puncak gunung tersebut malam ini.
“Bekalan elektrik di hotel juga terputus sebaik kejadian tanah runtuh berlaku dan sekarang kami hanya bergantung dengan penggunaan mesin ‘generator’ bagi mendapatkan bekalan elektrik,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Katanya, buat masa ini keadaan di puncak gunung itu terkawal dan hujan sudah berhenti, selain pasukan keselamatan termasuk polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia turut berada di situ bagi memantau keadaan.