47 maut kebakaran bar di Switzerland

47 maut kebakaran bar di Switzerland

Seramai 112 lagi cedera dalam kebakaran sebuah bar yang sesak ketika sambutan ambang tahun baharu di bandar peranginan ski Crans-Montana.

47 maut kebakaran bar di Switzerland epa images pic 2126
Orang ramai meletakkan bunga dan menyalakan lilin bagi memperingati mangsa kebakaran sebuah bar di Crans-Montana, Switzerland. (Gambar EPA Images)
GENEVA:
Sekurang-kurangnya 47 terbunuh, manakala 112 lagi cedera dalam kebakaran sebuah bar yang sesak ketika sambutan ambang tahun baharu di bandar peranginan ski Crans-Montana, Switzerland, kata Menteri Luar Itali, Antonio Tajani kepada media Itali pada Khamis, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap kepada Sky TG24, Tajani berkata, proses mengenal pasti mangsa akan menjadi “sangat rumit dan mengambil masa”.

Katanya, beberapa rakyat Itali yang cedera sudah dipindahkan ke Milan.

Laporan itu memetik Duta Besar Itali ke Switzerland, Gian Lorenzo Cornado, yang berkata enam rakyat Itali masih hilang, manakala 13 lagi dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, pihak berkuasa Switzerland setakat ini mengesahkan angka lebih rendah. Polis di Valais memaklumkan kira-kira 40 terbunuh dan sekitar 115 cedera, kebanyakannya parah sambil menegaskan proses pengecaman mangsa masih berjalan dan angka itu boleh berubah.

Pihak berkuasa turut memberi amaran proses mengenal pasti mangsa korban mungkin mengambil masa beberapa hari disebabkan keadaan mayat. Memandangkan sifat antarabangsa pusat peranginan itu, pegawai Switzerland juga berkata mangsa mungkin terdiri daripada warga asing.

Kebakaran itu tercetus di bar terbabit sejurus selepas tengah malam, mencetuskan tindak balas kecemasan berskala besar. Puluhan ambulans dan helikopter dikerahkan, manakala mangsa cedera dipindahkan ke hospital di seluruh Switzerland serta beberapa hospital di luar negara, termasuk unit rawatan khusus untuk kes melecur.

Siasatan jenayah sedang dijalankan. Pendakwa raya Valais berkata, beberapa hipotesis sedang diteliti, dengan teori yang diberi keutamaan ialah kebakaran menyeluruh yang mencetuskan letupan.

Pihak berkuasa menegaskan banyak keadaan masih perlu diperjelaskan dan menggesa semua pihak bertenang serta menghormati keluarga mangsa.

Pegawai Switzerland menolak kemungkinan unsur keganasan dan berkata tumpuan kekal untuk menentukan urutan kejadian tepat sehingga membawa kepada kebakaran itu. Pakar forensik dari Zurich dilantik untuk membantu siasatan serta proses pengecaman mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.