5 sekeluarga rentung kebakaran rumah di Pahang

5 sekeluarga rentung kebakaran rumah di Pahang

Polis berkata maklumat kebakaran itu diterima sekitar 3.35 pagi tadi.

Lima sekeluarga rentung dalam rumah di Raub Gambar JBPM 26226
Ketua Polis Raub Mohd Shahril Abdul Rahman berkata semua mangsa dijumpai selepas kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat dipadamkan. (Gambar JBPM)
RAUB:
Lima sekeluarga ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat di sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Raub, Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata mangsa yang terkorban ialah Mohd Awi Muhammad, 56, isterinya Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, serta tiga anak mereka, iaitu Ruby Adira Batrisya Mohd Alawi, 17, Ruby Adlina Banin Mohd Alawi, 14, dan Ruby Azyan Barizah Mohd Alawi, 10.

Beliau berkata ketika kejadian, dua lagi anak pasangan itu tiada di rumah kerana menetap di asrama.

“Anak mangsa yang tiada di rumah ialah Ruby Adalia Balqis Mohd Alawi, 19, yang merupakan pelajar Kolej Matrikulasi Gambang, Kuantan dan Ahmad Balia Murqam Mohd Alawi, 15, yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua mayat dibawa ke Hospital Raub untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Mohd Shahril berkata hasil siasatan turut mendapati rumah berkenaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran itu, namun jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Razam Taja Rahim, berkata pihaknya tiba di lokasi pada 4.15 pagi dan kebakaran itu berjaya dikawal pada 4.48 pagi tadi.

Beliau berkata, kebakaran itu memusnahkan struktur rumah 100%, selain menyebabkan tiga kereta dan tiga motosikal turut terbakar.

“Pasukan Keluaran Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki menggunakan sumber air daripada tangki pam jentera bomba,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sembilan anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan seunit Emergency Medical Rescue Services dari BBP Raub terbabit dalam operasi itu, dengan bantuan lima anggota serta sebuah FRT dari BBP Lipis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.