Lelaki rentung dalam kebakaran 5 rumah di Kepong

Lelaki rentung dalam kebakaran 5 rumah di Kepong

Bomba berkata dalam kejadian awal pagi tadi itu mayat mangsa ditemui di atas katil dalam sebuah bilik.

kebakaran
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki maut selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan lima rumah teres di Taman Ehsan Kepong, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata lelaki berusia 53 tahun itu ditemui dalam keadaan rentung di atas katil dalam bilik tidur rumah berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.30 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian, lapor Berita Harian.

Katanya, kebakaran itu menyebabkan sebuah rumah musnah sepenuhnya manakala empat lagi rumah mengalami kerosakan antara 20% hingga 80%.

“Seramai 27 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba Selayang dengan bantuan Balai Bomba Rawang, Jinjang dan Manjalara digerakkan ke lokasi.

“Kebakaran dapat dikawal pada 3.42 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.15 pagi,” katanya.

Katanya, kebakaran turut memusnahkan dua kenderaan iaitu Hyundai Getz dan Hyundai XG 250.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.