Gesaan Agong tuntutan untuk semua parti bekerjasama, kata penganalisis

Gesaan Agong tuntutan untuk semua parti bekerjasama, kata penganalisis

Perjanjian keyakinan dan pembekalan mesti diberi keutamaan, bukannya menunjukkan sokongan bagi calon perdana menteri.

Pakar sains politik Wong Chin Huat berkata, kerajaan seterusnya mesti cukup stabil untuk mentadbir dengan berkesan, sekalipun hanya untuk sementara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ahli politik mesti mewujudkan perjanjian yang inklusif dan mengutamakan kepentingan rakyat jika mahu mematuhi seruan Yang di-Pertuan Agong agar menggagas politik baharu yang lebih harmoni dan bersatu, kata penganalisis.

Menurut mereka, walaupun Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Agong menggesa “politik lama” dihentikan, ahli politik tetap mengadakan mesyuarat tergempar malam tadi untuk membina sokongan terhadap calon perdana menteri pilihan masing-masing.

Pakar sains politik Wong Chin Huat memberitahu FMT, parti-parti sebaliknya patut membincangkan perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) untuk memastikan kerajaan seterusnya cukup stabil untuk memerintah dengan berkesan, sekalipun hanya untuk sementara.

“Ini juga akan memberikan perdana menteri kuasa untuk menyingkirkan mana-mana menteri yang tidak layak tanpa bimbang tindakan itu membawa padah,” katanya dengan menambah bahawa ini kerana tidak semua parti dalam CSA semestinya turut terlibat dengan Kabinet.

Wong Chin Huat.

Ini juga akan mewujudkan majoriti jauh lebih besar daripada 111 diperlukan untuk menguasai Dewan Rakyat, seterusnya membolehkan perdana menteri ‘terselamat’ dalam undi percaya serta meluluskan belanjawan.

Wong berkata, sekalipun perjanjian berkenaan mempunyai had waktu, tempohnya tidak patut terlalu singkat kerana kerajaan akan datang mesti mempunyai ruang mencukupi untuk melaksanakan pembaharuan tanpa dibelenggu kemungkinan berdepan pilihan raya.

“Dalam erti kata lain, pertandingan antara parti yang tidak sihat dapat ditangguhkan selama mungkin,” katanya.

Azmi Hassan.

Pakar geostrategis Azmi Hassan berkata, kehendak Agong mampu dipenuhi sekiranya parti-parti memberi keutamaan terhadap penyatuan demi rakyat berbanding memperkukuhkan kuasa mereka.

“Ketika memilih perdana menteri, parti-parti mesti mengetepikan agenda politik mereka, itu yang dikatakan Agong sebagai ‘politik lama’. Apabila mereka mendahulukan negara, akan lebih mudah untuk memilih seorang perdana menteri,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tabiat lama memang sukar dihapuskan.

“Selama ini, politik memang berkisar pada mengutamakan parti dan agenda parti, manakala kehendak rakyat dikemudiankan. Sebab itu kita kini dalam keadaan ini.

“Punca semua parti begitu sukar memberikan satu nama adalah disebabkan setiap parti dan gabungan mempunyai individu pilihan sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.