
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, berkata majoriti sokongan 114 Ahli Parlimen yang menyokong Naib Presiden Umno itu “amat tipis” dan mengundang pelbagai kemungkinan.
“Ini merupakan majoriti yang amat tipis dan dia (Ismail) boleh dimainkan oleh Muhyiddin dan Azmin seperti mana mereka dimainkan oleh Umno.
“Kita merasakan Ismail bukan pilihan yang terbaik tetapi angka yang diperoleh menyebabkan dia dilantik kerana mainan politik yang dilakukan oleh mereka yang di dalam Perikatan Nasional dan Barisan Nasional,” kata Khalid.
Khalid meragui Ismail mempunyai kebijaksanaan dan kemampunan untuk menepis risiko itu dengan memastikan pentadbirannya lebih baik daripada Muhyiddin.
“Saya merasakan kedudukan Ismail Sabri terlalu lemah untuk beliau melakukan apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, Ahli Parlimen yang menyokong Ismail “belum tentu lagi daripada golongan yang akan (terus) setia kepadanya”.
Beliau berkata, sokongan itu diberikan atas dasar kepentingan masing-masing justeru, “mungkin ada pihak yang akan cuba menghalang Ismail jika ada perubahan yang mahu dilakukan”.
Petang tadi, Istana Negara mengumumkan pelantikan Ismail sebagai Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin yang meletak jawatan Isnin lalu selepas 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya.
Spekulasi bertebaran bahawa Muhyiddin akan dilantik sebagai menteri pembimbing dalam Kabinet Ismail yang bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.
Namun, nasib Azmin yang menjadi menteri kanan dalam pentadbiran Muhyiddin sebelum ini tidak diketahui.
Bekas pemimpin PKR itu yang menjadi perancang “Langkah Sheraton” dan kemudian melompat ke Bersatu disifatkan sekutu utama Muhyiddin.
Beliau diuar-uarkan antara calon untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri namun belum disahkan.