Berilah peluang kepada ayah untuk terajui negara, kata anak Ismail

Berilah peluang kepada ayah untuk terajui negara, kata anak Ismail

Nashriq Ismail Sabri, 29, amat berharap rakyat di negara ini dapat memberikan peluang kepada ayahnya untuk membuktikan kemampuan dalam mengemudi negara.

Anak kepada Ismail Sabri Yaakob, Nashriq, berharap rakyat di negara ini dapat memberikan peluang kepada ayahnya untuk membuktikan kemampuan dalam mengemudi negara. (Gambar Instagram)
KUANTAN:
Memulihkan kembali negara daripada belenggu pandemik Covid-19 pastinya akan menjadi tugas mencabar buat Ismail Sabri Yaakob yang dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan semalam.

Justeru, anak kepada Naib Presiden Umno itu, Nashriq Ismail Sabri, 29, amat berharap rakyat di negara ini dapat memberikan peluang kepada ayahnya untuk membuktikan kemampuan dalam mengemudi negara.

“Saya mohon agar rakyat Malaysia dapat memberi peluang kepada beliau untuk menerajui negara dan memberikan doa yang baik-baik. Ia bukan tugas yang mudah untuk digalas tetapi kami yakin beliau akan cuba yang terbaik bagi memulihkan negara kita,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Anak ketiga dari empat beradik itu bagaimanapun percaya dengan pengalaman luas yang dimiliki ayahnya, tugas baharu itu dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Ditanya mengenai reaksi Ismail sebaik dilantik sebagai perdana menteri, Nashriq berkata: “Beliau bersyukur kepada Allah dan menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di atas perkenan pelantikan jawatan perdana menteri”.

Nashriq turut berkongsi perwatakan Ahli Parlimen Bera itu, yang menurutnya adalah seorang yang penyayang dan amat mementingkan keluarga meskipun sibuk dengan tugasannya di dalam kerajaan dan juga parti.

Semalam pelantikan Ismail sebagai Perdana Menteri Kesembilan diumumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara dan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan berlangsung pada 2.30 petang ini.

Pelantikan itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, selepas mengadakan Perbincangan Khas Raja-raja Melayu selama dua jam di Istana Negara.

Ismail, 61, yang sebelum ini merupakan timbalan perdana menteri dilantik ke jawatan itu selepas Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan perdana menteri pada 16 Ogos, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.