Covid-19 bukan alasan lengah pendaftaran automatik pengundi, mahkamah diberitahu

Covid-19 bukan alasan lengah pendaftaran automatik pengundi, mahkamah diberitahu

Peguam mewakili gerakan Undi18 berkata hasrat Parlimen meluluskan had umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi perlu dipatuhi.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dalam hujahannya mengatakan responden berdepan kesulitan melaksanakan hasrat Parlimen berikutan Covid-19 dan PKP yang dikuatkuasakan sejak tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Wabak Covid-19 tidak boleh dijadikan alasan untuk melengahkan pendaftaran rakyat negara ini berusia 18 tahun sebagai pengundi, peguam memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Gurdial Singh Nijar berkata, proses pendaftaran pengundi automatik (AVR) mampu dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan bantuan teknologi.

“Tidak munasabah menjadikan Covid-19 sebagai alasan. AVR boleh dilengkapkan dalam tempoh sebulan susulan pengumuman kerajaan pada 10 Oktober 2019,” kata peguam dalam hujahan berhubung permohonan semakan kehakiman oleh gerakan Undi18.

Beliau berkata, pada 2 November tahun lalu, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan dan disusuli Timbalan Pengerusi SPR Azmi Shahrom, mengumumkan sistem AVR berada di landasan.

Perlembagaan Persekutuan dipinda sebulat suara oleh Ahli Parlimen pada Julai 2019 bagi menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun dan membenarkan AVR.

Gurdial berkata, kerajaan dan SPR perlu bertindak dan menjalankan keputusan Parlimen.

“Janji mesti dipenuhi tanpa memaparkan pertunjukan politik,” katanya sambil menambah berlaku ketidaktentuan sejak tiga kerajaan mengambil alih pentadbiran sejak Mei 2018.

Ambiga Sreenevasan, yang dilihat bersama Gurdial berkata, status semasa adalah rakyat yang berusia 18 tahun boleh menjadi calon pilihan raya sekiranya pilihan raya umum dibuat, namun mereka tidak layak mengundi.

“Ini adalah sesuatu yang langsung tidak rasional kerana calon tidak dibenarkan mengundi diri sendiri,” katanya.

Ambiga berkata, kerajaan dan SPR melakukan pusingan-U secara mengejut selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) 1.0 pada 7 Jun lalu dan mengumumkan AVR akan dilaksanakan pada September tahun depan.

Beliau berkata, responden sepatutnya membenarkan 1.2 juta belia berusia 18 tahun mendaftar secara manual seperti mengunjungi Pejabat Pos untuk berdaftar sebagai pengundi dan melaksanakan hak demokrasi mereka.

Gerakan Undi18 mencabar keputusan kerajaan menangguh penurunan usia pengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pada 2 April lalu, gerakan terbabit memfailkan tindakan mahkamah di beberapa mahkamah berhubung tindakan penangguhan oleh responden untuk melaksanakan Undi18 dan membenarkan AVR.

Mereka menamakan perdana menteri, kerajaan dan SPR sebagai responden.

Mereka menghendaki pengumuman membabitkan usia 18 hingga 20 tahun mempunyai jangkaan keabsahan bahawa mereka mempunyai hak untuk mengundi pada atau sebelum Julai 2021.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dalam hujahannya mengatakan, Parlimen mempunyai niat untuk merendahkan had umur mengundi dan AVR perlu dilaksanakan secara serentak, sejurus pindaan Perlembagaan Persekutuan diluluskan.

Katanya, responden berdepan kesulitan melaksanakan hasrat Parlimen itu berikutan Covid-19 dan PKP yang dikuatkuasakan sejak tahun lalu.

“Ia tidak mampu dilaksanakan secara jarak jauh kerana SPR perlu turun ke lapangan bagi melakukan proses verifikasi membabitkan pengundi baharu,” katanya.

Seorang lagi Peguam Kanan Persekutuan Azizan Md Arshad berhujah bahawa undang-undang dan peraturan perlu dipinda bagi membolehkan kedua-dua hasrat Parlimen itu dilaksanakan.

Katanya, setakat ini, mereka berusia 18 hingga 20 tahun tidak dapat mendaftar secara manual kerana undang-undang hanya membenarkan mereka berbuat demikian sekiranya berusia 21 tahun dan ke atas.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid, dijangka membuat penghakiman pada 21 Oktober ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.