Pahang sedia beralih ke Fasa 3 PPN, semua indikator sudah dipenuhi, kata MB

Pahang sedia beralih ke Fasa 3 PPN, semua indikator sudah dipenuhi, kata MB

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail Pahang optimis dapat mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum musim tengkujuh bermula.

Wan Rosdy Wan Ismail berkata Pahang optimis dapat mencapai sasaran imuniti kelompok pada penghujung Oktober iaitu sebelum bermula musim tengkujuh memandangkan program pemberian vaksin di negeri ini berjalan lancar mengikut jadual. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Pahang dijangka bersedia beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara dalam masa terdekat kerana sudah memenuhi indikator ditetapkan bagi tujuan tersebut, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata antara indikator itu ialah peratusan penduduk yang sudah lengkap divaksinasi selain penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) di tahap selamat dan kadar jangkitan Covid-19 yang dicatatkan Pahang adalah rendah di bawah angka 2,000.

“Data menunjukkan 40% iaitu kira-kira 480,000 penduduk dewasa negeri ini sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19, iaitu satu daripada indikator ditetapkan bagi fasa tiga,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 di Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan di sini hari ini.

Selain itu, Wan Rosdy optimis Pahang dapat mencapai sasaran imuniti kelompok pada penghujung Oktober iaitu sebelum bermula musim tengkujuh memandangkan program pemberian vaksin di negeri ini berjalan lancar mengikut jadual.

“Pada bulan ini sahaja, kita (Pahang) dijadualkan menerima 580,000 dos vaksin Covid-19 dengan secara purata seramai 18,000 hingga 20,000 orang akan menerima suntikan vaksin Covid-19 sehari,” katanya.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata kira-kira 20,000 pokok hutan pelbagai spesies telah ditanam di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub yang sebelum ini diceroboh untuk dijadikan kebun durian Musang King haram.

Sebagai usaha memulihara dan memelihara alam sekitar, beliau berkata kerajaan negeri telah menubuhkan satu jawatankuasa khas diketuai Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang Mohd Hizamri Mohd Yasin untuk memastikan keberkesanan program pemulihan tersebut.

Kempen hari ini melibatkan penyertaan 20 agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyemarakkan semangat patriotik sempena sambutan hari kebangsaan antaranya Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan, Majlis Belia Negeri Pahang dan Jabatan Penerangan Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.