
Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata kes indeks kluster komuniti itu adalah seorang lelaki berusia 22 tahun yang disahkan positif Covid-19 pada 20 Ogos selepas mengalami gejala demam, batuk dan sakit sendi.
“Pengesanan aktif dan saringan dilakukan terhadap 134 individu terdiri daripada ahli keluarga, kontak rapat dan kontak kasual mengesan 61 kes positif selain kes indeks, manakala ujian saringan 53 individu negatif dan selebihnya masih menunggu keputusan,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Beliau berkata satu lagi kluster direkodkan ialah Kluster Pin Supu di Kinabatangan iaitu kluster tempat kerja di sebuah ladang kelapa sawit di Mukim Sukau melibatkan 35 kes positif sehingga semalam.
“Kes indeks adalah pekerja ladang wanita berusia 40 tahun warganegara Indonesia disahkan positif Covid-19 pada 22 Ogos setelah bersimptom. Persampelan terhadap 129 individu mendapati seramai 34 kes positif, selain kes indeks, dalam kalangan kontak sosial, pekerja dan tanggungan,” katanya.
Sabah mencatat 2,834 kes positif Covid-19 pada Sabtu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 140,361 kes, manakala 1,077 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh 107,589 orang dan seramai 5,007 pesakit sedang menerima rawatan.