Usul Ahli Parlimen mahukan Azhar kosongkan jawatan Speaker ditolak timbalannya

Usul Ahli Parlimen mahukan Azhar kosongkan jawatan Speaker ditolak timbalannya

Surat penolakan usul itu dihantar melalui emel kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pada 30 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata beliau dimaklumkan usul itu tidak boleh dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang kerana “tidak teratur” mengikut Peraturan Mesyuarat 4(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang berkata usulnya mahukan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun mengosongkan jawatan itu ditolak oleh timbalan Azhar, Mohd Rashid Hasnon.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata surat memaklumkan penolakan usul itu yang ditandatangani oleh Rashid dihantar melalui emel kepadanya pada 30 Ogos lalu.

Fahmi, yang juga Pengarah Komunikasi PKR, memuat naik surat itu di Twitternya.

Di dalam surat itu, Rashid berkata usul itu tidak boleh dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang kerana “tidak teratur” mengikut Peraturan Mesyuarat 4(3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Terdahulu, Azhar menafikan beliau menolak mana-mana usul Ahli Parlimen yang mahukannya mengosongkan jawatan itu.

Katanya, selain usul mahukan beliau meletak jawatan, ada juga usul yang mencadangkan individu lain dilantik ke jawatan berkenaan.

Azhar menegaskan, beliau tidak pernah campur tangan atau terbabit dalam membuat sebarang keputusan berhubung usul berkenaan.

“Apa-apa keputusan mengenai usul tersebut diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Rashid Hasnon,” kata Azhar dalam kenyataan hari ini.

Merujuk satu laporan yang mendakwa beliau menolak usul itu, Azhar berkata, laporan itu tidak benar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.