Muhyiddin sebagai pengerusi MPN: Terserah kepada ‘kebijaksanaan’ Ismail, kata Zahid

Muhyiddin sebagai pengerusi MPN: Terserah kepada ‘kebijaksanaan’ Ismail, kata Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Ismail bertanggungjawab memastikan kerajaan berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

Zahid berkata, beliau komited untuk terus berusaha memperkasakan Umno selaras dengan mandat PAU dan MKT.
PETALING JAYA:
Umno menyerahkan kepada Ismail Sabri Yaakob menggunakan “kebijaksanaannya” sebagai perdana menteri untuk membuat sebarang keputusan yang dirasai sesuai termasuk melantik Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, parti itu telah menetapkan pendirian menyokong Ismail sebagai perdana menteri dan ia “boleh ditakwilkan bahawa perdana menteri yang mengetuai kerajaan hari ini mempunyai kuasa Perlembagaan.”

Beliau tidak mengulas lanjut mengenai pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi MPN bertaraf menteri yang dikecam pelbagai pihak kerana dilihat gagal menangani wabak Covid-19 ketika menjadi perdana menteri selama 17 bulan sebelum ini.

Kalangan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno turut mengecam pelantikan itu sebagai tidak wajar dan berkemungkinan mengundang padah kepada Ismail dan Umno sendiri.

Selain pelantikan Muhyiddin, Ismail juga dikecam kerana dikatakan terus berpaut kepada muka lama dalam menmbentuk Jemaah Menteri baharu beliau.

“Parti (Umno) menyerahkan kepada kebijaksanaan beliau sebagai perdana menteri dalam membuat keputusan …yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara,” kata Zahid.

Beliau menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab Ismail untuk memastikan kerajaan berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu.

“Umno konsisten dalam pendiriannya. Kita telah pun memberikan sokongan kepada perdana menteri dan bagi pihak parti, saya akan memastikan kita akan terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam soal kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Kerajaan ada peranan dan tanggungjawabnya dalam memenuhi keperluan rakyat. Parti pula akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat,” katanya dalam catatan di Facebook.

Selaku ketua parti, Zahid berkata, beliau komited untuk terus berusaha memperkasakan Umno selaras dengan mandat Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi.

“Fokus kita tidak pernah lari daripada terus berusaha memantapkan perjalanan parti khususnya dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata, dua mandat besar akar umbi yang diamanahkan kepadanya dan barisan pengemudi parti melalui ketetapan PAU dan MKT termasuklah mengadakan pilihan raya umum ke-15 apabila pandemik Covid-19 mula berakhir dan setelah imuniti kelompok dicapai.

Selain itu, “kerusi tradisi Umno yang dikhianati tidak boleh sesekali dikompromi dan mesti diambil kembali dalam PRU15, termasuk membataskan kerjasama dengan Bersatu setelah Parlimen dibubarkan,” kata beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kerajaan dan parti akan saling melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing bagi tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehingga pandemik reda.

“Kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat yang amat meruncing ketika ini. Manakala Umno sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat,” tegasnya.

Zahid turut mengakui, kejatuhan Umno pada PRU lalu memberi banyak hikmah yang harus direnungkan oleh setiap ahli parti.

“Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.