Dasar ‘penswastaan yang bertanggungjawab’ mampu pacu pemulihan ekonomi, kata pakar

Dasar ‘penswastaan yang bertanggungjawab’ mampu pacu pemulihan ekonomi, kata pakar

Geoffrey Williams daripada Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata pemindahan pemilikan atau pengurusan aset awam kepada sektor swasta bukan hanya berupaya memaksimumkan nilai ekonomi tetapi juga nilai sosial.

Seorang ahli ekonomi berkata, berbanding dengan konsep tradisional penswastaan, manfaat sosial akan melebihi potensi untuk menjana keuntungan maksimum.
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi mencadangkan satu langkah yang dinamakan “penswastaan yang bertanggungjawab” untuk mengurangkan campur tangan kerajaan dalam mempromosi pertumbuhan ekonomi ketika negara cuba pulih daripada kesan pandemik.

Geoffrey Williams dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, pemindahan pemilikan atau pengurusan aset awam kepada sektor swasta bukan hanya berupaya memaksimumkan nilai ekonomi tetapi juga nilai sosial.

Berbanding dengan konsep tradisional penswastaan katanya, manfaat sosial akan melebihi potensi untuk menjana keuntungan maksimum.

“’Bertanggungjawab’ bermaksud mengambil kira semuanya, bukan hanya membabitkan kewangan. Sebagai contoh, kecualikan penjualan syarikat awam kepada pembeli swasta yang akan membuang pekerja untuk menjana lebih banyak keuntungan atau pemilik yang mempunyai rekod buruk dari segi pengurusan alam sekitar. Selain itu, jangan benarkan penjualan syarikat kepada mereka yang memperlakukan pekerja seperti hamba zaman moden.

Geoffrey Williams.

“Walaupun pembeli menawarkan harga yang tinggi, kos sosial dan persekitaran akan melebihi harga jualan,” katanya.

Katanya, perubahan dalam dasar itu akan membantu kerajaan meningkatkan dana dan mengurangkan kos yang disalurkan kepada aset-aset ini selain menyediakan lebih banyak peluang perniagaan kepada industri kecil dan sederhana (IKS) yang menjadi faktor utama dalam pemulihan selepas pandemik.

“Ia juga memberi pilihan kepada mereka yang kehilangan syarikat dan mungkin berminat untuk mengambil alih aset sedia ada. Ia mencipta peluang untuk kumpulan komuniti membangunkan perusahaan sosial dalam bidang yang memerlukan bantuan pemulihan dengan melakukan sesuatu lebih bermakna,” katanya.

Williams berkata, prinsip utamanya ialah mendorong pasaran dengan perusahaan swasta sebagai teras dan kerajaan akan berperanan sebagai sokongan tanpa melakukan campur tangan.

“Terdapat banyak pembaziran dalam sektor awam. Jadi, penswastaan secara bertanggungjawab bertujuan menjual perusahaan yang tidak kritikal, bukan teras dan bukan strategik atau menggandakan fungsi swasta,” katanya.

Beliau merujuk penyelidikan oleh Universiti Malaya (UM) yang mendapati 35 syarikat berkaitan kerajaan (GLC) utama secara keseluruhannya mempunyai sehingga 68,000 anak syarikat.

“Ia bukan hanya menutup peluang IKS, yang menjadi keluhan terbesar mereka mengenai GLC, tetapi juga membuka ruang untuk berlakunya salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.

Williams mengakui perubahan itu akan menjadi langkah berani untuk negara tetapi ia boleh dicapai dengan bakat muda yang dimiliki negara ketika ini.

“Ia bukan semudah yang disangka dan perlu menggunakan bakat kepimpinan dan pengurusan terbaik untuk melaksanakannya. Namun saya percaya Malaysia mempunyai bakat itu dalam kalangan generasi muda dan di sinilah kita boleh mensasarkan pelaksanaan dasar berkenaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.