KKM lancar laman web baharu lebih mudah difahami

KKM lancar laman web baharu lebih mudah difahami

Ia bagi memaklumkan data harian terkini bermula jam 6 petang ini.

Khairy Jamaluddin berkata laman web baharu itu dinamakan COVIDNOW dan orang ramai boleh melayarinya di https://covidnow.moh.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat berkaitan Covid-19.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melancarkan laman web baharu bagi memaklumkan data harian terkini Covid-19 bermula jam 6 petang ini.

Menerusi sidang media hari ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, laman web baru itu dinamakan COVIDNOW dan orang ramai boleh melayarinya di https://covidnow.moh.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat berkaitan Covid-19.

Tambahnya, laman web tersebut akan memaparkan data utama yang lebih mudah difahami dan boleh diakses oleh masyarakat umum.

“Usaha membangunkan laman ini mengambil masa beberapa bulan dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan yang telah bekerja keras membangunkannya,” katanya.

Beliau berharap, dengan data dan maklumat dikongsikan di GitHub dan COVIDNOW, masyarakat akan mempunyai pemahaman dan kesedaran lebih baik mengenai situasi jangkitan Covid-19 dalam negara.

Katanya, usaha untuk melakukan perubahan tingkah laku (behavioural change) dan amalan SOP dapat dipertingkatkan agar negara boleh mula memasuki fasa baharu dalam mendepani Covid-19.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat penurunan jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan di mana purata nilai Rt juga kini bawah 1.0 iaitu 0.97.

“Beberapa negeri telah menunjukkan situasi lebih baik seperti negeri di Lembah Klang, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Labuan dan Melaka.

“Sementara itu, terdapat trend mendatar dan kurang stabil di beberapa negeri seperti Perak, Perlis, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor, dan Sabah. Beberapa negeri pula didapati menunjukkan peningkatan kes seperti Sarawak dan Terengganu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.