Imej profesional KJ ‘magnet’ tawan kerusi bandar, kata penganalisis

Imej profesional KJ ‘magnet’ tawan kerusi bandar, kata penganalisis

Azmil Tayeb berkata pengalaman Khairy Jamaluddin sebagai bekas menteri dan Ahli Parlimen mampu menarik sokongan pengundi profesional.

khairy jamaluddin
Khairy Jamaluddin mendedahkan cenderung bertanding di kerusi bandar sekali gus menjawab persoalan mengenai kawasan pilihannya selepas kembali menyertai Umno bulan lalu.
PETALING JAYA:
Kerusi bandar di Selangor dan Putrajaya mungkin dilihat sebagai lokasi paling sesuai untuk Khairy Jamaluddin membuat kemunculan semula dalam pilihan raya, kata penganalisis.

Azmil Tayeb berkata, imej profesional Khairy atau dikenali KJ selain pengalamannya dalam pentadbiran di Putrajaya, menjadikan beliau calon berpotensi menarik sokongan pengundi bandar.

Katanya, Khairy yang juga pemegang ijazah sarjana muda falsafah, politik & ekonomi Universiti Oxford mempunyai kelebihan sebagai bekas Ahli Parlimen dan menteri.

“Dua faktor ini boleh menjadi tarikan utama kepada pengundi bandar, terutama di Selangor yang mempunyai ramai pengundi profesional,” katanya kepada FMT.

Khairy pernah menjadi Ahli Parlimen Rembau dari 2008 hingga 2022. Pada PRU15, beliau bertanding di Parlimen Sungai Buloh selepas dipindahkan oleh Umno, namun kalah kepada calon Pakatan Harapan (PH), R Ramanan.

Dalam sedutan sebuah program audio siar baru-baru ini, Khairy mendedahkan beliau cenderung bertanding di kerusi bandar, sekali gus menjawab persoalan mengenai kawasan pilihannya selepas kembali menyertai Umno bulan lalu.

Azmil dari Universiti Sains Malaysia (USM) turut berkata, Putrajaya mungkin boleh menjadi pilihan strategik buat bekas ketua Pemuda Umno itu.

Katanya, latar belakang Khairy sebagai bekas anggota Kabinet memberi kelebihan di kawasan berkenaan, yang pernah menjadi kubu tradisi Barisan Nasional (BN) sebelum tewas pada PRU15 kepada Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, pakar sains politik Wong Chin Huat dari Sunway University berkata, strategi BN untuk mengelak pertindihan kerusi dengan PH mungkin mengecilkan pilihan kawasan bandar untuk Khairy.

Namun, katanya, keadaan itu tidak semestinya menjadi halangan kerana Khairy mempunyai keupayaan menarik sokongan merentasi sempadan parti.

Menurut Wong, Khairy berpotensi mencabar kerusi milik PH atau Muda dalam pertandingan pelbagai penjuru kerana profilnya mampu memikat sebahagian pengundi gabungan itu.

“BN dijangka bertanding di majoriti kerusi di Semenanjung dan pertindihan dengan PH di beberapa kawasan bandar pasti berlaku. Ini sebenarnya membuka ruang kepada KJ.

“Beliau berpeluang menang dalam saingan tiga atau empat penjuru di kerusi seperti Shah Alam, Sepang dan Wangsa Maju di Lembah Klang, selain beberapa kawasan di Johor termasuk Muar, Pasir Gudang dan Johor Bahru,” katanya.

Mengulas mengenai Putrajaya, Wong berkata Khairy tidak semestinya memerlukan ‘laluan percuma’ daripada PH untuk menang di kawasan itu.

Katanya, PH hanya memperoleh 14% undi di Putrajaya pada PRU15, manakala kehadiran Khairy sebagai calon BN berpotensi menarik sebahagian sokongan pengundi PH kepadanya.

“Memang ada kerusi PKR, Amanah dan Muda yang KJ boleh cabar. Contohnya Muar, di mana Muda tidak mempunyai jentera besar atau Pasir Gudang memandangkan Hassan Karim mahu bersara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.