
Bercakap kepada FMT, Balachandran berkata sehubungan itu sayap itu perlu diperkasa bukan sekadar sebagai platform sokongan politik tetapi juga jambatan perpaduan nasional dan ruang membina kefahaman lebih matang.
Menurutnya, DHPP perlu memainkan peranan lebih progresif dengan fokus pendekatan penerangan dan penyelesaian isu rakyat, bukannya politik menyerang supaya masyarakat bukan Melayu lebih tertarik kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN).
“Ini adalah permulaan kepada bab baharu politik matang pelbagai kaum dalam PAS dan Malaysia,” katanya menyentuh kejayaan DHPP mengadakan mesyuarat agung tahunan pertamanya, semalam.
DHPP diangkat menjadi sayap bersekutu pada September tahun lalu sekali gus memberikannya kedudukan setara sayap Ulama, Wanita dan Pemuda.
Dalam mesyuarat itu, B Kumaresan, pegawai khas Menteri Besar Kedah Sanusi Nor dipilih sebagai ketua DHPP menggantikan N Balasubramaniam yang tidak mempertahankan jawatan itu bagi memberi laluan kepada muka baharu.
Sementara itu, Lim Guan Seng yang juga pegawai khas Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan ketua DHPP.
Dalam pada itu, Balachandran berkata fokus utama sayap itu kini untuk melahirkan pemimpin dan calon boleh diterima rakyat serta mempunyai kemampuan untuk menang berbanding jumlah kawasan mahu ditandingi.
“Fokus kita kenal pasti calon boleh menang, bukan berapa kerusi nak tanding. Kita akan tawarkan calon boleh menang.
“Soal jumlah kerusi DHPP akan tanding, itu serah kepada pucuk pimpinan untuk putuskan. Kita bukan kejar jawatan atau jumlah kerusi,” katanya.