Sabah kata tidak pada Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam

Sabah kata tidak pada Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata kerajaan negeri berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, Sabah adalah negeri yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama serta hidup dalam keadaan harmoni dan aman sejak sekian lama. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Sabah tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sebagai satu daripada empat undang-undang syariah baharu yang akan diperkenalkan.

Ketua Menteri, Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sabah adalah negeri yang mempunyai penduduk pelbagai kaum dan agama serta hidup dalam keadaan harmoni dan aman sejak sekian lama.

“Walaupun mempunyai pelbagai kaum dan anutan kepercayaan masing-masing, kita saling menghormati antara satu sama lain dan tiada masalah, kepelbagaian kaum dan agama menjadi tonggak perpaduan rakyat di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary dilaporkan berkata, rang undang-undang bersabit pengembangan agama bukan Islam adalah sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah selama lima tahun dari 2020 hingga 2025.

Katanya, kerajaan bercadang menggubal 11 undang-undang syariah utama, termasuk penggubalan undang-undang baharu dan pindaan undang-undang sedia ada, serta lapan undang-undang syariah subsidiari.

Selain RUU Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam katanya, tiga lagi undang-undang syariah yang akan digubal adalah RUU Wakaf, RUU Mufti dan RUU Mahkamah Syariah.

“Penggubalan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah sebahagian daripada pelan pemerkasaan tersebut,” katanya menurut laporan Harakah.

Bagaimanapun pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada cadangan menggubal akta untuk menyekat atau mengawal pengembangan agama bukan Islam yang dibawa ke Kabinet dan jika ada, ia memerlukan persetujuan negeri terlebih dahulu.

Katanya, negeri perlu dirujuk terlebih dahulu kerana agama berada bawah bidang kuasa mereka.

“Kita perlu berbincang dengan pihak berkuasa negeri untuk melihat sama ada mereka setuju atau tidak.

“Kita tidak boleh membawanya ke Parlimen, kecuali semua negeri bersetuju,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.