Pergeseran Warisan, PH hanya sementara, kata penganalisis

Pergeseran Warisan, PH hanya sementara, kata penganalisis

Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, jika dilihat daripada sudut luaran sahaja, ia sememangnya menimbulkan spekulasi seolah-olah hubungan Warisan dan PH agak dingin.

Penganalisis berpendapat kebiasaannya apabila menjelang pilihan raya, pasti akan berlaku rundingan politik dalam kalangan pembangkang.
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berpendapat pergeseran yang berlaku antara Warisan dan Pakatan Harapan (PH) berkaitan perjanjian kerjasama antara pembangkang dengan kerajaan hanya bersifat sementara.

Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata, jika dilihat dari sudut luaran sahaja, ia sememangnya menimbulkan spekulasi seolah-olah hubungan Warisan dan PH agak dingin.

Bagaimanapun katanya, ia mungkin bersifat sementara dan kebiasaannya apabila menjelang pilihan raya, pasti akan berlakunya rundingan politik dalam kalangan pembangkang.

“Seperti yang diutarakan oleh Ketua Pemuda Warisan Aziz Jamman bahawa ‘Warisan were kept in the dark’ (Warisan tidak diberitahu apa-apa) sebenarnya memberi indikasi bahawa berlakunya ‘communication breakdown’ (kegagalan komunikasi) antara PH dan Warisan.

“Bagaimanapun kemungkinan ada juga faktor lain (menyebabkan Warisan tidak menyertai perjanjian kerjasama dengan kerajaan), iaitu Warisan secara teguh bersama dengan pendirian Pejuang,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, ini menjadikan mereka sebagai blok pemerhati dan pengimbang berhubung memorandum persefahaman (MoU) antara PH dan kerajaan.

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, Warisan harus faham bahawa isu perjanjian dengan kerajaan adalah berdasarkan jemputan perdana menteri kepada pemimpin PH yang mewakili blok pembangkang terbesar negara dan Warisan juga bukan komponen PH.

Justeru katanya, jemputan berkenaan adalah daripada perdana menteri sendiri dan beliau yang mempunyai kuasa untuk menjemput mana-mana parti pembangkang, bukannya PH.

“Warisan, Pejuang dan Muda hanya mempunyai 13 Ahli Parlimen berbanding PH yang mempunyai lebih banyak Ahli Parlimen. Jadi PM (perdana menteri) lebih melihat kepentingan dan ancaman terbesar yang perlu dibawa berunding ialah PH, bukannya Warisan.

“Malah Annuar Musa (Menteri Komunikasi dan Multimedia) menyatakan giliran Warisan dan Pejuang untuk dijemput akan dibuat sedikit masa lagi kerana mereka fokus kepada PH dulu,” katanya.

Terdahulu, Azis yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, parti itu tidak dilibatkan langsung dalam perbincangan awal berhubung memorandum persefahaman antara PH dengan kerajaan.

Katanya, mereka hanya dilibatkan selepas PH telah menyatakan persetujuan dengan kerajaan untuk menandatangani MoU terbabit.

MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH yang ditandatangani kelmarin merangkumi enam bidang utama.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, MoU itu merangkumi pemerkasaan pelan Covid-19, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan juga kebebasan institusi kehakiman.

Selain itu, ia akan melibatkan pembaharuan Parlimen, transformasi pentadbiran dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.