Disyaki jalankan kegiatan tak bermoral, 2 hotel antara 18 premis ditutup DBKL

Disyaki jalankan kegiatan tak bermoral, 2 hotel antara 18 premis ditutup DBKL

Seramai 24 warga asing diambil maklumat bagi tujuan dokumentasi kerana mengendalikan premis perniagaan tanpa kebenaran.

Anggota penguat kuasa DBKL menampal notis penutupan pada premis perniagaan yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral. (Gambar Facebook DBKL)
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menutup 18 premis perniagaan, termasuk dua hotel kerana disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral, selain dikendalikan warga asing, menerusi Ops Patuh Terhadap Premis Komersial di sekitar ibu negara yang dilaksanakan dari 1 hingga 15 Sept lalu.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, premis itu diarahkan tutup mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan pada masa sama, pihaknya mengeluarkan 96 notis kompaun atas pelbagai kesalahan dalam pemeriksaan di premis komersial berkenaan.

Menurutnya, 14 warga asing terdiri daripada empat warga Thailand, empat warga Indonesia dan enam warga Vietnam ditahan kerana terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

Selain itu, 24 warga asing terdiri daripada sembilan warga Bangladesh, enam warga Pakistan, empat warga India dan lima warga Indonesia turut diambil maklumat bagi tujuan dokumentasi kerana mengendalikan premis perniagaan tanpa kebenaran.

“DBKL turut menyita 29 barangan daripada premis terbabit seperti kamera litar tertutup (CCTV), televisyen, kondom, minyak pelincir, buku log, monitor, video dekoder dan lain-lain peralatan,” menurut kenyataan itu.

Sebanyak 562 premis/syarikat diperiksa sepanjang operasi itu melibatkan aktiviti perhotelan, pusat urut, restoran, kedai runcit, pasar raya, kedai barangan am dan lain-lain aktiviti yang dibenarkan beroperasi ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut DBKL, lapan notis kompaun dikeluarkan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) atas pelbagai kesalahan terhadap individu, pemilik premis, syarikat yang ingkar pematuhan SOP PPN yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Warga kota diminta terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat kepada DBKL dalam talian melalui https://adukl.dbkl.gov.my,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.