
Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin berkata, setiap permohonan kewarganegaraan yang diterima akan diproses dengan teliti secara “kes demi kes” dalam memastikan setiap permohonan memenuhi syarat ditetapkan dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain.
“Sukacita diingatkan bahawa syarat yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan hanya melayakkan permohonan dikemukakan, tetapi tidak menjamin permohonan akan diluluskan.
“Ingin ditegaskan penganugerahan kewarganegaraan Malaysia merupakan anugerah tertinggi dan hak eksklusif kerajaan persekutuan yang tidak ditawarkan dan diberikan dengan sewenang-wenangnya,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik ke laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) mengapa permohonan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warganegara Malaysia di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan ditolak secara rutin oleh kerajaan.
Hamzah berkata, permohonan kerakyatan yang dikemukakan secara berasingan dengan kandungan maklumat dan dokumen sokongan berbeza, maka hasil penilaian dan pertimbangan juga berbeza mengikut keperluan, bukti dan fakta kes berdasarkan maklumat yang diberikan.
“Pemerolehan kewarganegaraan Malaysia bagi individu berumur bawah 21 tahun yang dilahirkan di luar negara kepada ibu bertaraf warganegara Malaysia dengan bapa bertaraf bukan warganegara adalah secara pendaftaran di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan tertakluk kepada pematuhan syarat dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, kesahtarafan anak dan peraturan imigresen.
“Dalam hal ini, pertimbangan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan turut mengambil kira dasar kerajaan yang tidak mengiktiraf dwikewarganegaraan.”
Pada 9 Sept lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan kewarganegaraan automatik diberikan kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.
Ia sekali gus membatalkan tafsiran awal menetapkan kewarganegaraan kanak-kanak diberi berasaskan status bapa warganegara Malaysia sahaja.
Hakim Mahkamah Tinggi, Akhtar Tahir melalui penghakimannya memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual kedua Perlembagaan mesti bermaksud dan merangkumi ibu.