Usia 110 tahun, tapi ingatan lawan komunis masih segar

Usia 110 tahun, tapi ingatan lawan komunis masih segar

Mat Ariffin yang mengetuai pasukan 'home guard' di daerah Weng, Sungai Golok menyingkap pelbagai peristiwa dan kepayahan ketika melawan komunis.

Mat Ariffin, 110, memegang kad identiti ketika bertugas sebagai ‘home guard’ dan anggota polis. Beliau ditemani, anaknya, Mat Nawi dan cucu.
PETALING JAYA:
Usia Mat Ariffin Mat Deris yang kini mencecah 110 tahun mungkin menyebabkan dia sukar mengingati banyak perkara.

Namun peristiwa ketika bertugas sebagai “home guard” atau pasukan kawalan tempatan ketika berusia 27 tahun di Rantau Panjang, Kelantan masih kekal dalam lipatan memorinya sehingga kini.

Paling diingatinya ialah serang hendap oleh sepasukan anggota komunis di daerah Weng, Sungai Golok. Walaupun tidak mengingati tarikh sebenar pertempuran itu namun ia memberi kesan besar kepada dirinya sekali gus dapat berbangga kerana menyumbang kepada keamanan negara.

Menurut Mat Ariffin, dengan hanya bersenjatakan senapang patah, dia mengetuai tujuh anggota sedang membuat pemantauan di kawasan terbabit tetapi secara tiba-tiba diserang dengan bedilan peluru secara bertubi-tubi menyebabkan mereka bertempiaran lari.

“Saya sempat lari ke belakang pokok besar dan sempat melepaskan tembakan. Tidak lama selepas itu serangan berhenti dan seorang daripada anggota komunis tumpas, manakala kami semua terselamat,” katanya yang kini menetap di Kampung Tanjung Buluh, Kerambit, Lipis, Pahang.

“Home guard” adalah pasukan yang dibentuk tentera British untuk membantu mengawal keselamatan penduduk tempatan daripada ancaman pengganas. Peranannya sama seperti pasukan RELA ketika ini.

Katanya, ketika berusia 18 tahun, dia juga pernah menyaksikan pendaratan Jepun di Kelantan yang membawa kepada penjajahan Tanah Melayu oleh negara matahari terbit itu yang menyebabkan ramai rakyat hidup dalam keadaan menderita.

“Tentera Jepun ini agak ganas juga, saya hampir ditampar hanya kerana tidak menjawab pertanyaan mereka yang bertanyakan nama saya dalam bahasa Jepun.

“Pernah juga saya tidak memakan ikan dalam tempoh yang lama disebabkan tentera Jepun sering mencampak mayat yang dibunuh mereka ke dalam laut,” katanya kepada FMT yang dibantu anaknya bernama Mat Nawi untuk menceritakan kisah hidupnya itu.

Walaupun berusia 110 tahun, Mat Ariffin masih tegap berdiri dan boleh membuat kerja-kerja kampung seperti bertukang dan menanam pokok.

Berkhidmat di bawah seorang pegawai British menjadikan Mat Ariffin seorang yang sentiasa bersedia dengan arahan dan berani berdepan serangan gerila komunis.

Katanya, walaupun upah yang dibayar tidak seberapa, namun mereka tetap bersemangat mempertahankan tanah air daripada menjadi mangsa kekejaman askar Bintang Tiga.

“Kami ditempatkan di Kampung Banggul Cik Wan dan kawasan berdekatan di bawah pengurusan Balai Polis Meranti, Pasir Mas yang diketuai seorang pegawai British. Beliau juga mengajar kami cara berkawad dan menembak,” katanya.

Kesengsaraan berpuluh tahun penduduk tempatan sejak komunis mula bertapak di Tanah Melayu pada awal 1930-an akhirnya berakhir selepas pengganas komunis menyerah kalah dan keluar dari Tanah Melayu.

Mat Ariffin kemudian menyertai pasukan “Special Constable” sehingga 1 Julai 1959 untuk meneruskan khidmat baktinya kepada negara.

“Selepas itu, saya menyertai pasukan polis selama beberapa tahun dan bertugas di beberapa tempat. Terakhir sekali sebelum bersara seingat saya ditempatkan di Balai Polis Meranti, Pasir Mas,” katanya yang bersara sebagai anggota polis pada penghujung 1963.

Bagi menyara keluarga, Mat Ariffin kemudiannya membanting tulang sebagai penjaga lombong dan menjadi pemborong kecil peralatan pembinaan.

“Kemudian saya berhijrah ke Kerambit, Lipis pada 1978 dan menetap secara kekal di Kampung Tanjung Buluh sehingga kini,” katanya.

Walaupun melalui banyak saat pahit ketika dijajah sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Mat Ariffin, yang mempunyai 13 anak dan 40 cucu gembira dapat berkhidmat walaupun mungkin tidak setanding perwira di negara lain.

“Banyak beza dahulu dan sekarang, dulu bila jadi ‘home guard’ bertugas hanya di pondok dan tanpa wang saku, sekarang ada tempat sendiri dan selesa,” katanya.

Pada akhir bicara, beliau sempat mengingatkan generasi muda ketika ini supaya menghargai nilai kemerdekaan yang dikecapi negara hasil pertumpahan darah pahlawan terdahulu yang bermatian-matian mempertahankan tanah air daripada musuh.

“Kemerdekaan tidak akan kita kecapi pada hari ini jika nenek moyang kita pada waktu itu tidak bangkit melawan penjajah. Taat setialah pada Raja dan Sultan, teruskan bersatu hati agar kemerdekaan yang kita kecapi ini dapat dipertahankan untuk generasi akan datang,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.