PM pernah bincang lantik saya jadi Pengerusi MPN, kata Dr M

PM pernah bincang lantik saya jadi Pengerusi MPN, kata Dr M

Minggu lalu, Ismail Sabri Yaakob mempertahankan keputusan melantik semula Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun berkata, tiada tawaran rasmi daripada mana-mana pihak, termasuk Ismail Sabri Yaakob untuk jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara selepas itu.
PETALING JAYA:
Pengerusi PEJUANG, Dr Mahathir Mohamad mendakwa beliau dan Ismail Sabri Yaakob pernah membincangkan jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) diisi olehnya.

Tetapi, beliau dipetik Sinar Harian berkata, tiada tawaran rasmi diterima daripada mana-mana pihak, termasuk Perdana Menteri selepas itu.

Pada 14 Sept lalu, Ismail mempertahankan keputusan melantik Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri.

Ismail berkata, pelantikan Muhyiddin dibuat memandangkan bekas Perdana Menteri itu memegang jawatan berkenaan sejak MPN ditubuhkan ketika pentadbiran Perikatan Nasional.

Sementara itu, Mahathir menyifatkan tindakan Putrajaya melantik ahli politik memegang jawatan bertaraf menteri sebagai pembaziran kerana peruntukan bagi membayar gaji ahli politik itu sepatutnya disalurkan untuk membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pembabitan ahli politik dalam badan kerajaan harus dihentikan kerana ia hanya memberi manfaat berat sebelah kepada individu tertentu.

“Mana perkara boleh tangguh, tangguh dan yang perlu didahulukan adalah masalah rakyat. Ini penting kerana mereka takut dijangkiti penyakit. Ada ramai mati dan sudah ramai tak tahan dengan ‘lockdown’.

“Perkara yang tak penting kerajaan ada pula duit. Ada macam-macam duit untuk benda-benda politik, tetapi berkenaan masalah rakyat tidak diberi perhatian,” kata Ahli Parlimen Langkawi itu di pejabatnya hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.