Polis rampas lebih 300kg syabu RM10 juta

Polis rampas lebih 300kg syabu RM10 juta

Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas berkata tiga lelaki tempatan berusia 40 hingga 50 tahun ditahan manakala dua kenderaan dipercayai berkait kes itu turut disita.

Ketua Polis Daerah Tawau Peter Umbuas berkata, kes masih dalam siasatan dan terlalu awal untuk dikaitkan dengan sindiket dadah antarabangsa.
TAWAU:
Polis menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan berkaitan rampasan 303.15 kg syabu bernilai lebih RM10 juta di Kampung Batu Payung pada 6 Sept lepas.

Ketua Polis Daerah Tawau, Peter Umbuas berkata, penahanan suspek berumur lingkungan 40 hingga 50 tahun itu, dilakukan antara 7 hingga 10 Sept lepas di sekitar Tawau dan Kunak dan polis turut menyita dua buah kenderaan.

Kes itu masih dalam siasatan dan terlalu awal untuk dikaitkan dengan sindiket dadah antarabangsa, katanya pada sidang media.

Sementara itu, taktik dua wanita menyembunyikan dadah di sebalik bengkung dan memakai jubah serta bertudung labuh “mudah dibaca” pihak polis dalam satu cubaan menyeludup bahan itu ke Indonesia, kelmarin.

Peter berkata, kedua-dua wanita itu, yang berumur 38 dan 40 tahun dari Sulawesi Barat, Indonesia, ditahan di Kilometer 37 Tawau-Semporna, dekat sini, pada 5.50 pagi.

Pemandu kereta yang dinaiki mereka, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun, turut diberkas.

“Polis menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva yang mencurigakan, kemudian pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek wanita didapati membawa 2.16kg dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM72,720.

“Dadah itu disembunyikan di bengkung dengan cara menampal empat bungkusan dengan setiap bungkusan berisi 10 plastik dadah, modus operandi suspek mudah dibaca,” katanya.

Beliau berkata, hanya pemandu lelaki itu didapati positif dadah selain semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

Siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ketiga-tiga mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 22 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.