Vaksinasi bantu turunkan kes jangkitan harian, kata Masidi

Vaksinasi bantu turunkan kes jangkitan harian, kata Masidi

Ini susulan Sabah hari ini merekodkan jumlah jangkitan terendah sejak lebih sebulan lalu.

Walaupun ramai di Sabah telah menerima suntikan vaksin, penduduk tetap mengingatkan supaya terus mematuhi SOP dan menjaga disiplin.
KOTA KINABALU:
Jurucakap Covid-19 Sabah Masidi Manjun berkata, trend penurunan kes jangkitan harian di negeri itu adalah hasil peningkatan dalam bilangan orang yang telah menerima suntikan vaksin.

Ini selepas negeri itu merekodkan bilangan kes harian Covid-19 terendah hari ini, iaitu 1,395 – jumlah paling rendah sejak 1,514 kes yang direkodkan pada 11 Ogos lalu.

Selepas 11 Ogos, bilangan kes harian di negeri itu meningkat dengan paling tinggi direkodkan pada 26 Ogos iaitu 3,487.

“Trend penurunan ini seiring dengan peningkatan jumlah populasi yang telah menerima suntikan vaksin,” kata Masidi kepada FMT.

“Ia memang boleh dijangkakan, namun sama ada boleh bertahan juga adalah satu isu. Lonjakan kes jangkitan di Sarawak baru-baru ini elok diambil iktibar.

“Nasihat terbaik adalah untuk terus mematuhi SOP. Disiplin kendiri amat penting.”

Masidi yang juga menteri kerajaan tempatan dan perumahan Sabah berkata, keseluruhannya, kes harian telah menurun di kebanyakan daerah di negeri itu.

“Menurut statistik, 16 daerah merekodkan penurunan kes manakala 11 lagi daerah melihat peningkatan.

“Kota Kinabalu menunjukkan rekod agak baik dengan hanya 160 kes, iaitu 109 kurang berbanding semalam,” katanya.

Beliau menambah Ranau, Pitas, Penampang dan Kinabatangan antara daerah yang turut menunjukkan jumlah jangkitan rendah hari ini.

Bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan merekodkan peningkatan kes jangkitan di beberapa daerah termasuk Sandakan, Kota Marudu dan Kunak.

Masidi berkata, daripada 1,395 kes direkodkan hari ini, 463 atau 33.19% adalah kes tertunggak yang didaftarkan dua hingga tiga hari lewat, 59 kes didaftarkan empat hingga lima hari lewat, dan 36 kes lebih dari lima hari.

Kontak rapat masih menjadi penyumbang tertinggi kes jangkitan iaitu 833, manakala saringan bergejala merangkumi 383 kes, tambahnya.

Menurutnya, kebanyakan kes hari ini termasuk dalam Kategori 2 (gejala ringan) dengan 899 kes atau 64.44%, disusuli 385 kes atau 27.6% dalam Kategori 1.

Sembilan kes Kategori 3 dan masing-masing tujuh Kategori 4 serta 5 turut direkodkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.