
Menerusi kenyataan bersama Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Alexander Nanta Linggi berkata, persetujuan itu hasil daripada sesi libat urus bersama pihak industri di seluruh Negara.
“Pihak industri bersetuju untuk menurunkan lagi harga ayam di peringkat pengeluar/ladang supaya harga di peringkat borong dan runcit juga dapat distabilkan sekali gus membantu pengguna menikmati harga ayam pada harga yang berpatutan,” kata mereka.
Hasil perbincangan diadakan semalam, kedua-dua kementerian itu berkata, pihak mereka bersetuju untuk meneliti beberapa cadangan daripada pihak industri berkaitan usaha menstabilkan harga ayam.
Antaranya melibatkan pemberian kemudahan pinjaman mudah (soft-loan) bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi dan menangani isu peningkatan kos pengeluaran.
Katanya, jika usaha menangani isu harga ayam tidak mendapat kerjasama peniaga semua peringkat, kerajaan akan mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat dan disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu.
Sementara itu, pihak KPDNHEP akan meneruskan tindakan penguatkuasaan bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Katanya, jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut terutama dalam situasi semasa ketika ini, tindakan tegas akan diambil.
“Peniaga boleh dikenakan tindakan bawah Seksyen 14(1), AKHAP 2011 dan sekiranya sabit kesalahan, peniaga boleh dikenakan denda sehingga RM500,000.00.
“Sekiranya suatu perbadanan/syarikat dan bagi bukan perbadanan/individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali”.
Kementerian juga akan memantau rapi isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak awal September lalu sehingga harga di peringkat runcit melebihi RM10 sekilogram di beberapa kawasan di seluruh negara.
“KPDNHEP telah melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam.
“Usaha ini telah membuahkan hasil apabila data menunjukkan trend penurunan harga ayam berbanding pada awal September lalu dan trend ini dijangka terus menunjukkan penurunan sekali gus menstabilkan harga ayam di pasaran.”