

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura yang mengulas cadangan bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu, berkata: “Apa yang menjadi masalah ialah anda tidak tahu siapa yang anda pilih untuk menjadi wakil di Parlimen. Ini kerana jika parti itu menang 30% daripada undi dan memperuntukkan 30 kerusi, maka terpulang kepada parti untuk menentukan siapakah yang mendapat kerusi itu.”
Bagaimanapun dalam kaedah biasa, pengundi boleh memilih calon dan parti mengikut kemahuan mereka sendiri.
“Pada akhirnya, demokrasi adalah untuk mengundi calon berbanding parti pilihan anda,” katanya.
“Ia sudah cukup teruk apabila kita mempunyai sistem yang menyaksikan pengundi tidak boleh memilih ketua eksekutif atau perdana menteri secara langsung atau memilih undang-undang yang dicadangkan dalam bentuk referendum secara langsung. Jadi mengapa ingin wujudkan satu lagi lapisan halangan terhadap demokrasi langsung?”
Ahli akademik Azmi Hassan berkata, beliau lebih cenderung kepada sistem pengundian yang mempunyai wakil secara individu dan calon yang bebas daripada sebarang parti kerana ia lebih baik untuk demokrasi.

Kedua-dua penganalisis mencadangkan beberapa cara untuk memperbaiki sistem pengundian yang diamalkan ketika ini.
Oh berkata, sekiranya pemenangnya tidak mendapat 50% undian, dua calon yang mempunyai jumlah undi tertinggi harus bersaing untuk menentukan siapakah yang layak untuk menjadi Ahli Parlimen.
Sistem itu sama dengan sistem pilihan raya presiden Perancis yang mempunyai dua pusingan bagi menentukan majoriti tepat diperolehi oleh pemenangnya.
“Saya faham dengan pilihan sesetengah orang yang perlu selari dengan ketetapan parti tanpa mengira calon individu dan saya begitu senang dengan gabungan kedua-dua itu yang akan memenuhi setiap pilihan. Ini dilakukan di beberapa negara seperti Jerman dan Jepun.”
Azmi mencadangkan sistem pengundian diperbaiki dengan pelaksanaan kaedah bukan fizikal.
“Dengan pandemik yang masih berterusan, ia mungkin agak sukar untuk keluar mengundi. Sistem pengundian secara dalam talian harus digunakan dan undang-undang perlu dipinda supaya sistem pengundian secara fizikal bukan satu-satunya cara yang boleh dilakukan.”