Masalah kesihatan mental tambah serius dihimpit Covid-19

Masalah kesihatan mental tambah serius dihimpit Covid-19

Peningkatan kes kesihatan mental kian meruncing tatkala pandemik Covid-19 terus membelenggu negara.

Banyak pihak berpandangan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan turut menyumbang kepada peningkatan kes kesihatan mental.
PETALING JAYA:
Peningkatan kes bunuh diri, penderaan domestik serta kecelaruan mental ketika wabak Covid-19 menular amat membimbangkan berdasarkan data pihak berkuasa.

Malah banyak pihak berpandangan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) turut menyumbang kepada peningkatan kes kesihatan mental.

Statistik panggilan bantuan yang diterima Talian Bantuan Sokongan Psikososial di bawah Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 122,328 panggilan diterima dari 1 Januari sehingga 18 Jun 2021.

89.4% daripadanya berkait isu-isu psikologi kesan daripada pelbagai masalah seperti;

  • kehilangan punca pendapatan dan pekerjaan;
  • hilang tempat bergantung;
  • pergaduhan antara ahli keluarga; dan
  • masalah rumah tangga (pertengkaran, perpisahan, perceraian), penderaan (emosi dan fizikal).

Sehingga Mac 2021, polis merekodkan sebanyak 336 kes bunuh diri. Angka dalam tempoh itu adalah separuh daripada jumlah sepanjang tahun yang dilaporkan sebelum ini – 631 kes pada 2020 dan 609 kes pada 2019.

Sesetengah pihak khuatir penularan kisah bunuh diri di media sosial mendorong pembaca yang sedang kecelaruan menirunya – iaitu apa yang dikatakan sebagai “Werther Effect”.

Pensyarah kanan di Pusat Pengajian Media, Informasi dan Perang Saraf, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, peniruan atau “copycat” boleh berlaku dalam kalangan mereka yang terperangkap dalam emosi negatif yang terus-menerus disebarkan.

Satu kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya antara 12 Mei hingga 5 September 2020 mendapati golongan muda khususnya pelajar, wanita dan mereka yang menghadapi masalah kewangan – lebih terdedah kepada gejala kesihatan mental.

Hasil kajian menunjukkan berlaku peningkatan tahap kemurungan, kegelisahan dan tekanan sepanjang tempoh kajian.

Sistem Insuran Pekerjaan (SIP) merekodkan 99,696 pekerja diberhentikan kerja antara Januari hingga 27 November tahun lalu akibat penularan wabak Covid-19 dan kebanyakan mereka daripada industri bukan keperluan (non-essential services).

Individu yang terkesan terus menderita penyakit mental akibat tekanan ekonomi secara berterusan, selain sekatan aktiviti sosial dan terpaksa berkurung dalam jangka masa yang panjang.

Kanak-kanak turut menerima impak kesihatan mental, kesan daripada pelaksanaan sekatan secara berterusan.

Pensyarah kanan (Bimbingan & Kaunseling) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia, Syed Mohamad Syed Abdullah berkata, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) pada 2019 mendapati hampir setengah juta kanak-kanak dikesan berdepan dengan masalah mental.

Keadaan mereka diperburukan dengan pelbagai sekatan pergerakan ketika pandemik Covid-19 dengan gangguan mental seperti stres dan “demam kabin” atau rasa terperangkap, khususnya bagi mereka yang belajar dalam talian.

Stres pasca trauma atau PTSD (post-traumatic stress disorder) dalam kalangan bekas pesakit Covid-19 yang mengalami simptom lanjutan, keluarga atau petugas kesihatan yang berdepan dengan kes atau kematian akibat Covid-19 turut menjadi penyumbang kepada peningkatan kes kesihatan mental.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media 27 Jun berkata, kajian yang dijalankan terhadap 893 petugas kesihatan di Malaysia mendapati 53.8% mengalami tekanan melampau (burnout) disebabkan hal peribadi, dengan paling tinggi direkodkan dalam kalangan pegawai farmasi dan petugas kesihatan peringkat daerah.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, tanda-tanda dan gejala kemurungan seperti berikut:

  • Sedih berpanjangan
  • Hilang minat terhadap hobi dan aktiviti-aktiviti yang biasanya mendatangkan keseronokan
  • Cepat letih dan tidak bertenaga
  • Perasaan pesimistik dan mudah putus asa
  • Perasaan bersalah
  • Rasa diri tidak berguna
  • Gangguan tidur
  • Hilang selera makan
  • Percubaan bunuh diri
  • Rasa tidak tenteram dan mudah marah
  • Kurang daya tumpuan dan ingatan
  • Sukar membuat keputusan
  • Simptom fisiologi seperti sakit kepala, sakit-sakit badan dan gangguan penghadaman
  • Kurang nafsu seksual
  • Pergerakan menjadi terhad/kaku atau menjadi resah gelisah
  • Mudah cemas atau fobia

Sekiranya anda mendapati diri, keluarga atau rakan-rakan memerlukan bantuan atau khidmat nasihat, berikut adalah senarai nombor yang boleh dihubungi:

  • Talian Bantuan Sokongan Psikososial – 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935 (Waktu operasi 8 pagi – 5 petang setiap hari)
  • Talian Khas Perkhidmatan Kaunseling Covid-19 (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) – Talian kasih (15999) & WhatsApp (0192615999)
  • Befrienders – Skype (BefKL Skype 1) atau pada talian 03-76272929 & 03-76272929 (Setiap hari)

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.