Kestabilan berterusan dalam GRS ‘luar jangkaan,’ kata penganalisis

Kestabilan berterusan dalam GRS ‘luar jangkaan,’ kata penganalisis

Ketahanan kerajaan GRS menunjukkan bahawa kekuatan dan kelebihan yang ada pada masa ini menjadi ‘gam’ yang kuat bagi perkongsian politik, kata penganalisis.

Pada PRN Sabah tahun lepas, GRS menang dengan majoriti tipis 38 kerusi. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Para penganalisis pada umumnya bersetuju bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tiada sebarang pencapaian luar biasa dari segi dasar awamnya selama setahun berkuasa, kerana lebih banyak tumpuan diberikan kepada menjaga keutuhan gabungan berkenaan.

Ahli sains politik, Wong Chin Huat berkata, beliau terkejut melihat GRS lebih stabil berbanding jangkaan awal, dan tetap utuh walaupun Umno menarik sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin.

“Walaupun ketika (Ketua Umno Sabah) Bung Moktar Radin sendiri menjadi salah seorang daripada (ahli) ’15 anti-Muhyiddin’ Umno, beliau tidak mengancam untuk menjatuhkan kerajaan Sabah pimpinan Bersatu,” katanya kepada FMT.

“Ketahanan ini menunjukkan bahawa kekuatan dan kelebihan yang dimiliki pada masa ini menjadi ‘gam’ yang kuat bagi perkongsian politik, paling tidak di Sabah.”

Bung puas hati jadi No 2?

Felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun berkata, setelah perebutan jawatan Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri (PRN) tahun lalu, Bung kelihatan puas hati kekal sebagai timbalan kepada Hajiji Noor yang dilantik memegang jawatan berkenaan.

“Malah, beliau berulang kali menzahirkan sokongan kepada kerajaan Hajiji walaupun kepimpinan berubah di peringkat persekutuan dan Umno Sabah memiliki lebih banyak kerusi berbanding Bersatu,” katanya.

Sebelum PRN Sabah pada 26 Sept, penentang GRS serta pemerhati politik ragu-ragu sama ada gabungan longgar yang dianggotai PN, Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu dapat bekerjasama.

Ini terutamanya disebabkan oleh kegagalannya mencapai kata sepakat mengenai calon Ketua Menteri.

Namun, walaupun setelah bersetuju Hajiji menyandang jawatan itu, Bung dilaporkan tidak puas hati dengan pembahagian jawatan kepada BN, yang membantu GRS meraih kemenangan majoriti tipis sebanyak 38 kerusi dalam PRN.

Daripada 38 kerusi berkenaan, PN mendapat 17 kerusi, BN 14 dan PBS sebanyak tujuh kerusi. Warisan Plus memenangi 29 kerusi sementara sekutunya, PKR memenangi dua dan UPKO satu. Tiga kerusi yang tinggal dimenangi calon bebas yang kemudian mengisytiharkan diri sebagai mesra GRS.

GRS terdiri daripada Umno, PBRS, MCA dan MIC daripada BN; Bersatu, STAR, SAPP dan PAS daripada PN; serta PBS.

Fokus jangka pendek

Penganalisis politik daripada University of Nottingham Malaysia, Bridget Welsh berkata, GRS mempunyai fokus jangka pendek untuk meraih sokongan berbanding fokus jangka sederhana dan jangka panjang untuk mengukuhkan asas bagi negeri ini.

Beliau percaya, GRS adalah antara kerajaan negeri yang terbaik dalam menangani wabak Covid-19 dari sudut pandang kesihatan, walaupun berdepan defisit serius dalam infrastruktur kesihatan.

Kedua, katanya, GRS memanfaatkan kedudukannya untuk berunding dengan Putrajaya bagi memperoleh peruntukan tambahan.

“Bagaimanapun, bidang-bidang yang memerlukan peningkatan adalah dalam membentangkan visi holistik bagi pembangunan dan pemulihan ekonomi negeri, serta menterjemahkan rundingan di peringkat elit kepada realiti rakyat biasa yang berdepan kesulitan setiap hari.

“Kerajaan negeri telah membelanjakan berjuta-juta daripada rizab tetapi kesan peningkatan perbelanjaan tersebut dan ke atas rakyat belum zahir,” kata Welsh.

Katanya, prestasi mereka yang berkuasa di Semenanjung mungkin mempengaruhi pendapat masyarakat mengenai kerajaan Sabah, dengan berkata, “sukar untuk memisahkan GRS daripada pentadbiran persekutuan yang buruk”.

Kegagalan dalam komitmen persekutuan

Bagaimanapun, Wong berkata, kadar vaksinasi di Sabah perlahan, berbanding Sarawak, dan ini menjadi titik terendah bagi gabungan GRS, jika dilihat dari jauh.

“Ini menunjukkan ketidakmampuan kerajaan GRS menuntut komitmen kerajaan persekutuan terhadap Sabah walaupun mempunyai Ketua Menteri daripada parti Perdana Menteri terdahulu,” katanya.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Lee Kuok Tiung percaya bahawa walaupun terdapat banyak cabaran, termasuk kemelut politik di Semenanjung, parti-parti komponen GRS berjaya bekerjasama.

Beliau berkata, ini dibuktikan oleh tindakan sembilan parti komponen GRS menandatangani perjanjian pada Januari untuk mengukuhkan gabungan itu.

Katanya lagi, pengenalan pantas rancangan pembangunan Sabah Maju Jaya oleh GRS akan dipandang positif oleh masyarakat, walaupun akan mengalami cabaran dalam pelaksanaannya.

“Namun buat masa depan, GRS harus mempertimbangkan secara serius untuk mendaftarkan gabungan itu seperti yang dilakukan Gabungan Parti Sarawak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.