
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, projek terowong dasar laut merupakan sebahagian daripada projek tiga lebuh raya utama dan terowong dasar laut di negeri itu.
Tambahnya, kos bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci bagi keempat-empat pakej tersebut (tiga lebuh raya dan terowong dasar laut) berjumlah RM305 juta.
“Namun, hanya RM208 juta yang telah dibayar melalui kaedah ‘exchange land’ kepada kontraktor Consortium Zenith Construction (CZC) bagi kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci untuk tiga lebuh raya sahaja.
“Langsung tiada bayaran dibuat bagi terowong dasar laut kerana kajian kebolehlaksanaannya belum lagi diterima serta diluluskan oleh kerajaan negeri,” katanya.
Berkenaan cadangan menggantikan terowong dasar laut dengan jambatan, Chow berkata, kajian kebolehlaksanaan yang dilakukan oleh CZC adalah untuk terowong dasar laut sahaja, bukannya untuk jambatan.
Bagaimanapun katanya kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan membina jambatan sebagai ‘link’ ketiga, namun ia belum lagi dipertimbangkan dan sebarang pertimbangan hanya akan dilakukan setelah kajian kebolehlaksanaan dibentangkan secara rasmi kepada kerajaan negeri.