Penekanan rapat jurang digital antara bandar tepat pada masa, kata Mahdzir

Penekanan rapat jurang digital antara bandar tepat pada masa, kata Mahdzir

Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata naik taraf itu akan membolehkan pelbagai latihan kemahiran dapat dilaksanakan selain memperkenalkan perkhidmatan e-dagang di kawasan luar bandar.

Mahdzir Khalid berkata penekanan terhadap pembangunan luar bandar itu amat bersesuaian dengan falsafah Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penekanan untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan luar bandar oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), disifatkan tepat pada masanya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Mahdzir Khalid, berkata usaha tersebut akan dilakukan dengan cara menaik taraf Pusat Internet Desa serta Pusat Komuniti Desa sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, dengan naik taraf tersebut ia membolehkan pelbagai latihan kemahiran dapat dilaksanakan selain memperkenalkan perkhidmatan e-dagang di kawasan luar bandar.

“Saya amat mengalu-alukan program ini kerana kita tahu tidak semua tempat mempunyai capaian internet berkelajuan 100 megabait sesaat (Mbps).

“Kebanyakan kawasan di kampung berada pada paras 20 hingga 30 Mbps sahaja,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Beliau berkata, penekanan terhadap pembangunan luar bandar itu, amat bersesuaian dengan falsafah Keluarga Malaysia yang diperkenalkannya.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab mengenai soal luar bandar, saya ingin menyatakan bahawa Perdana Menteri membuat pembentangan yang sangat komprehensif untuk RMK12.

“Dalam pembentangannya, beliau memberi keutamaan berkaitan pembangunan luar bandar seperti pendigitalan, peluang pekerjaan dan perubahan iklim,” katanya.

Ditanya apakah perancangan untuk memastikan semua peruntukan sampai kepada kumpulan sasaran, Mahdzir berkata perkara itu antara yang diberi keutamaan.

“Kita perlu ada ‘task force’ yang mencukupi untuk bergerak. Kita ambil projek bekalan air luar bandar sebagai contoh. jika melalui proses normal, mungkin akan lambat (pelaksanaan projek).

“Sebab itu kerajaan pusat perlu juga berunding dengan kerajaan negeri kerana ada projek tertentu yang diluluskan di peringkat kerajaan negeri. Ini bermakna kerajaan negeri pun kena bantu untuk memastikan projek terbabit berjalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.