
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun berkata, walaupun usaha bagi menyelesaikan masalah tekanan mental dan bunuh diri adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan, kementeriannya turut komited menangani masalah psikologi orang awam menerusi pelbagai program sokongan.
“KPWKM melalui Lembaga Kaunselor telah mengambil beberapa inisiatif yang tidak berorientasikan perundangan bagi membantu mereka yang mempunyai masalah tekanan mental yang berkecenderungan untuk bunuh diri,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan – Kota Belud) yang meminta kerajaan menyatakan statistik bagi pendakwaan terhadap mereka yang didakwa atas kesalahan percubaan bunuh diri menurut Seksyen 309 Kanun Keseksaan sepanjang tempoh pandemik.
Selain itu, beliau juga meminta kerajaan menyatakan inisiatif yang tidak berorientasikan perundangan bagi membantu mereka yang mempunyai masalah tekanan mental serta berkecenderungan membunuh diri.
Mengulas lanjut, Rina berkata, antara program sokongan yang digerakkan oleh kementerian adalah khidmat aduan atas talian, khidmat sokongan psikologi atas talian serta program sokongan psiko-sosial melalui saluran media sosial.
Memperincikan kes cubaan bunuh diri, sebanyak 190 kes direkodkan antara Mac hingga Disember tahun lalu sementara 221 kes dilaporkan antara Januari hingga Ogos tahun ini.
Daripada jumlah itu, 297 adalah lelaki manakala baki 114 kes membabitkan cubaan bunuh diri oleh wanita.
Pada 15 Sept lalu di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kesihatan II, Aaron Ago Dagang berkata, isu cubaan bunuh diri akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh terdekat bagi membolehkan satu pertimbangan khusus dibuat agar ia tidak lagi dikategorikan sebagai perbuatan jenayah.