
Bertindak atas kesedaran ini, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) memperkenalkan kaunseling bergerak yang turun padang bagi mendekati rakyat yang menghadapi tekanan emosi dan kemurungan.

Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron, berkata ramai individu memendam perasaan kerana malu atau takut datang ke pejabat kerajaan untuk mendapatkan bantuan kaunseling.
“Ramai yang takut nak datang cari bantuan, terutama wanita yang jadi mangsa keganasan rumah tangga tapi bila nampak trak PSSS di bawah flat atau kawasan perumahan, mereka datang sendiri untuk bercerita,” katanya kepada FMT ketika ditemui di Trak PSSS semasa Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan di Taman Wetland Putrajaya, baru baru ini.
PSSS beroperasi di lapan zon seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, menyasarkan kawasan awam seperti Institusi Pengajian Tinggi, sekolah, pasar, masjid dan perumahan rakyat.
Selain trak yang direka dengan konsep santai, PSSS mempunyai bas dilengkapi bilik kaunseling tertutup, dikendalikan oleh kaunselor bertauliah yang berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dengan jaminan kerahsiaan penuh.
Nordina berkata, pendekatan bertemu rakyat itu untuk membantu golongan dewasa serta pelajar sekolah dan universiti yang terdedah kepada tekanan emosi akibat daripada pelbagai masalah.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 mendedahkan seramai sejuta atau bersamaan 4.6% penduduk berusia lebih 15 tahun mengalami isu kemurungan, lapor Harian Metro.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019, dengan golongan berusia 16 hingga 29 tahun paling ramai mengalaminya. Tinjauan juga menunjukkan hampir separuh daripada jumlah itu berfikir untuk mencederakan diri sendiri atau membunuh diri.
Masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak pula menyaksikan peningkatan daripada 7.9% pada 2019 kepada 16.5% pada 2023. Statistik menunjukkan satu daripada enam kanak-kanak mengalami masalah berkenaan.
PSSS jadi penghubung
Pusat Sokongan Sosial Setempat turut berperanan sebagai penghubung antara rakyat dan pelbagai agensi kerajaan, berdasarkan jenis aduan.
“Jadi kaunselor akan menyantuni mereka dan menghubungkan kepada langkah-langkah selanjutnya, sama ada nasihatkan untuk buat laporan polis atau ke hospital,” katanya.
“Selain itu, mereka yang memerlukan bantuan kebajikan, seperti ada anak istimewa namun tak tahu di mana untuk daftar bagi dapatkan bantuan. Di PSSS kami akan bantu jadi penghubung.”
Di sebalik usaha ini, Nordina menegaskan betapa pentingnya menghapus stigma terhadap khidmat kaunseling dalam masyarakat demi kesejahteraan insan.
“Kita nak ubah persepsi itu. Dengan jumpa kaunselor kita rasa tenang, supaya tak simpan tekanan tu lama-lama. Kalau simpan lama boleh ‘meletup’,” katanya.
Katanya lagi, pendekatan ‘awak okay tak?’ yang digunakan dalam kempen YKN bertujuan membuka perbualan awal supaya ahli keluarga berani bertanya dan berkongsi masalah dengan lebih terbuka. Ini juga adalah sokongan kepada kempen ‘Awak OK Tak?’ yang dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membantu meningkatkan kesejahteraan emosi masyarakat.
“Banyak isu yang berlaku bermula dari rumah, jadi ibu boleh tanya anak, suami boleh tanya isteri dan sebaliknya sama ada mereka okay atau tidak,” katanya.