
Prem Anand Loganathan, 55, yang juga pegawai khas ADUN ketika itu, didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul seorang wanita berusia 21 tahun yang dikenali sebagai “Tan” di sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai pada 6 Julai 2017.
Pada 2019, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM7,000 terhadapnya. Dia kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi.
Hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman, Mohd Radzi Abdul Hamid membatalkan keputusan itu dengan berkata, mahkamah rendah tersalah arah dan terkhilaf dalam banyak aspek.
Peguam E Gnanasegaran yang mewakili Prem berkata, majistret gagal mengambil kira semua fakta dalam kes itu.
“Keputusan Mahkamah Majistret itu menyimpang dari segi pencarian fakta dan Mahkamah Tinggi dengan pasti boleh berkata sabitan itu tidak selamat.
“Terdapat persoalan yang perlu dijawab, tetapi tidak dijawab dengan baik, khasnya apabila mangsa enggan menjalani pemeriksaan perubatan selepas polis mengarahkannya. Tidak ada penjelasan wajar mengapa beliau enggan berbuat demikian.”
Gnanasegaran berkata, sabitan dan hukuman ke atas Prem diketepikan.
Prem dilantik sebagai ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dari 2008 hingga 2013.