
Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, jika pemilihan Umno dilakukan dalam masa terdekat, perebutan sengit akan berlaku antara pemimpin termasuk kedudukan Presiden, Ahmad Zahid Hamidi dicabar.
Bagaimanapun, Atory tidak menolak mereka yang menentang Presiden dalam pemilihan akan berdepan risiko tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15.
“Presiden ada kuasa penuh menentukan siapa yang akan jadi calon dan siapa yang akan digugurkan nanti. Sudah pasti yang menentang Presiden tak akan dicalonkan semula,” katanya kepada FMT.
Beliau bagaimanapun berkata, Zahid kini dalam dilema, kerana jika beliau menggurkan kluster menteri yang bertindak melawannya sebagai calon PRU tidak mustahil akan berlaku gerakan melompat parti menyertai Bersatu.
“Umno berdepan krisis kepimpinan, sukar nak bangkit seperti dulu,” katanya.
Khamis lalu Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, parti itu akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan 2021 dari 13 hingga 15 Jan 2022.
Beliau bagaimanapun memaklumkan semua mesyuarat itu tidak akan diadakan pemilihan jawatan kerana Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) telah bersetuju mengenai penangguhan pemilihan parti Umno sehingga 29 Dis 2022.
Sementara itu, Iskandar Hasan Tan Abdullah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kelantan pula berpandangan, sebarang pergolakan dan penentangan terhadap Zahid jika pemilihan dibuat, hanya akan bersifat sementara.
Katanya, ini kerana semua pihak yang menentang Presiden akan tunduk disebabkan mahu kekal dicalonkan dalam PRU termasuk mereka yang berada dalam kerajaan ketika ini.
“Pengajaran 1988 dan terkini krisis 2017 yang menyebabkan akhirnya kewujudan parti Bersatu sentiasa akan dijadikan peringatan bagi kumpulan yang memegang jawatan kerajaan tetapi tidak pro-Presiden.
“Tidak mustahil tentangan itu akhirnya akan hilang bila sampai masanya disebabkan kepentingan watikah pelantikan calon DUN dan Parlimen kini di tangan Presiden,” katanya.
Iskandar berkata, keputusan Umno menangguhkan pemilihan di saat parti itu bergelut dengan krisis kepimpinan adalah keputusan bijak bagi mengelak keadaan lebih parah.
“Jadi adalah menjadi matlamat Presiden untuk menguatkan Umno semasa berada dalam krisis politik. Untuk melihat perpaduan dalam kalangan ahli Umno sentiasa berada pada tahap yang maksimum. Maka penangguhan pemilihan itu adalah keputusan terbaik yang dibuat oleh Presiden Umno.
“Sama ada keputusan itu mampu menguatkan Umno atau tidak selepas PRU15 adalah ibarat bom jangka yang telah lama dipendam,” katanya.