
Bilcher Bala dan Syahruddin Awang Ahmad dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, prestasi pada PRK itu nanti akan memberi gambaran awal tentang hala tuju BN dalam landskap politik Sabah yang semakin kompetitif.
Bilcher berpendapat, BN tidak boleh semata-mata bergantung pada sentimen simpati dan jasa Bung, untuk meyakinkan parti itu masih relevan dalam politik Sabah.
“Jika BN mampu menggabungkan tradisi sokongan, faktor simpati dan strategi calon tepat, potensi untuk mempertahankan kerusi itu adalah tinggi.
“Tetapi kegagalan mengurus persepsi terhadap politik dinasti atau kelemahan kempen boleh menyebabkan sokongan beralih kepada parti pesaing,” katanya kepada FMT, merujuk spekulasi anak Bung, Naim Kurniawan akan dicalonkan di salah satu kerusi.
“Sama ada waris politik seperti anak Bung atau tokoh tempatan dipercayai, calon harus yakinkan pengundi mereka boleh meneruskan agenda pembangunan dan jaringan politik dibina.”
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Khairul Shahril Idrus, dilaporkan berkata PRK Lamag akan diadakan susulan kematian Bung pada 5 Dis lalu, dengan tarikhnya ditetapkan selepas menerima pemakluman daripada DUN Sabah.
Bagi kerusi Parlimen Kinabatangan yang dimenangi ketua Umno Sabah itu dengan majoriti 4,330 undi, pakar perlembagaan Muhammad Fathi Yusof berpendapat ia wajar diadakan kerana tempoh penggal Parlimen ke-15 masih berbaki sebelum terbubar secara automatik.
Berita Harian melaporkan beliau berkata, peruntukan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan menetapkan PRK tidak perlu diadakan jika kekosongan berlaku dalam tempoh dua tahun terakhir sebelum Parlimen terbubar secara automatik.
Bagaimanapun, tempoh itu hanya bermula pada 19 Dis ini memandangkan sidang pertama Parlimen ke-15 berlangsung pada tarikh sama dua tahun lalu.
BN mencatat prestasi buruk pada PRN Sabah ke-17 apabila hanya menang enam daripada 45 DUN ditandingi dengan beberapa tokoh parti kalah, antaranya Salleh Said Keruak di Usukan.
Sementara itu, Syahrudin berkata misi untuk BN Sabah bangkit menerusi kubu kuatnya bukan bukan mudah terutama di kerusi Lamag, yang dimenangi Bung dengan majoriti hanya 153 undi. Pemimpin utama Umno Sabah itu diekori rapat calon bebas, Mohd Ismail Ayob, yang memperoleh 3,755 undi.
“BN perlu bergantung kuat kepada jentera akar umbi dan sentimen nostalgia terhadap penyandang lama utk mengekalkan dua kerusi itu yang secara tradisinya dianggap kubu kuatnya,” katanya.
Menurut Syahrudin, kekalahan di kerusi itu mungkin menyebabkan BN Sabah terus terpinggir daripada arus perdana.
“Umno-BN juga akan turut beransur-ansur hilang dari radar politik Sabah,” katanya.