
James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, satu-satunya jalan untuk keluar daripada krisis politik di negeri itu adalah dengan mengadakan pilihan raya negeri – yang akan menentukan kedudukan antara Umno dan Bersatu.
“Jika ia adalah satu persaingan terbuka kepada semua, orang ramai akan meneliti keputusan (Umno lawan Bersatu) dan membuat strategi untuk pilihan raya umum nanti,” kata Chin kepada FMT.
Spekulasi mengenai pilihan raya negeri di Melaka timbul selepas empat orang ADUN semalam berkata mereka telah menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Empat orang itu termasuk ADUN Sungai Udang yang juga bekas ketua menteri, Idris Haron yang mengumumkan kerajaan negeri Melaka telah tumbang.
Chin berkata, beliau tidak melihat sebarang prospek rundingan pengagihan kerusi antara dua parti berkenaan dan ia mungkin menjadi persaingan secara terbuka di semua kerusi majoriti Melayu yang dianggapnya sebagai satu “perkara yang baik”.
Perselisihan antara Umno dan Bersatu dilihat sebelum kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu dan Umno telah menyatakan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.
Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melihat kepada “gambaran lebih luas” apabila mencadangkan supaya pilihan raya negeri diadakan.
Katanya, isu yang timbul antara Idris dan Sulaiman, yang kedua-duanya daripada Umno, boleh diselesaikan secara dalaman.
Bagaimanapun Umno mahu melihat bagaimana kedudukannya dalam pertembungan dengan Bersatu.
“Ia akan menjadi satu ujian yang baik untuk Umno dan sebab itu mengapa mereka mahu melakukan pertaruhan di Melaka,” katanya.
Chin dan Azmi berkata, krisis di Melaka menjadi petunjuk kepada isu dalaman yang berlaku dalam Umno.
Azmi berkata, sekiranya Umno menang, ia akan menjadi masalah besar kepada Bersatu.
Chin pula berkata, jika Bersatu menang, ia bukan petanda baik untuk Zahid dan kem yang menyokongnya di Melaka di mana beliau mempunyai pengaruh besar.
Bagaimanapun, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) yang memainkan peranan mereka untuk menjatuhkan kerajaan Melaka sambil mengingatkan gabungan itu mengenai hasil yang dilihat selepas Muhyiddin ditekan supaya meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
Pembangkang dilihat bersemangat untuk menjatuhkan Muhyiddin ketika itu, hanya untuk menggantikannya dengan Ismail Sabri Yaakob.
“Tidak ada sebarang jaminan bahawa anda (pembangkang) akan menjadi sebahagian daripada kerajaan jika membantu salah seorang dalam Umno untuk menjatuhkan orang lain,” katanya.