Remaja hanya alami kesan sampingan ringan vaksin, kata timbalan menteri

Remaja hanya alami kesan sampingan ringan vaksin, kata timbalan menteri

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali tidak menafikan kesan sampingan ringan dialami remaja, tetapi ia akan pulih dalam beberapa hari.

Terdapat beberapa kes remaja mengalami kesan sampingan ringan dan bersifat sementara selepas divaksin seperti bengkak, sakit di tempat suntikan, penat, sakit kepala, sakit sendi, demam, loya dan rasa tidak sihat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan berkata, tiada remaja yang mengalami kesan sampingan teruk selepas disuntik vaksin Covid-19 sehingga kini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Noor Azmi Ghazali bagaimanapun tidak menafikan kesan sampingan ringan dialami remaja selepas divaksin, tetapi ia akan pulih dalam beberapa hari.

“Seperti ubat lain, vaksin juga berkemungkinan mempunyai kesan sampingan. Setakat ini, beberapa kes yang dilaporkan adalah ringan dan bersifat sementara seperti bengkak, sakit di tempat suntikan, penat, sakit kepala, sakit sendi, demam, loya dan rasa tidak sihat.

“Sekiranya berlaku kesan serius susulan vaksin Covid-19, kerajaan pada 17 Mac lalu telah mengumumkan bantuan khas kesan terhadap vaksin, ini kalau serius. Setakat ini tak ada (bagi remaja),” katanya ketika ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi KKM.

Azmi berkata, pemberian vaksin adalah secara sukarela dan ibu bapa bertanggungjawab membuat pilihan terbaik untuk anak mereka.

“Bagaimanapun kerajaan berusaha memberi penerangan tentang faedah vaksin kepada ibu bapa, remaja dan keluarga bagi melindungi mereka daripada dijangkiti Covid-19,” katanya.

Setakat semalam katanya, pemberian vaksin kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang bermula 20 Sept lalu mencapai 1.9 juta atau 62.5% yang menerima dos pertama.

“Angka itu telah melepasi sasaran awal kita, yang menyasarkan 60% remaja terima dos pertama pada November, tetapi selepas 14 hari, sejak 20 Sept sehingga semalam, kita capai 62.5% mereka disuntik dos pertama. Ini pencapaian membanggakan.

“Daripada jumlah itu, 343,000 atau 90.9% adalah remaja berusia 16 tahun dan 344,000 atau 92.8% remaja berumur 17 tahun. Kita sasar 80% remaja lengkap doa vaksin sebelum hujung tahun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.