PRN Melaka: Kerjasama atau bertanding sendirian, Umno buat keputusan 14 Okt

PRN Melaka: Kerjasama atau bertanding sendirian, Umno buat keputusan 14 Okt

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi akan membuat ketetapan menjelang PRN Melaka.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi dipercepatkan berbanding kebiasaannya diadakan pada hujung bulan, kata Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan.
PETALING JAYA:
Umno akan membuat keputusan sama ada akan bertanding secara sendirian atau bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, pada 14 Oktober ini, kata Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan.

Katanya, perkara itu akan diputuskan selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada hari berkenaan.

Beliau berkata, setakat ini tiada apa-apa keputusan mengenai kerjasama dibuat seperti disebut Timbalan Presiden Umno sebelum ini.

“Pada hari Khamis 14 Oktober, akan diadakan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi, seminggu dari sekarang. Saya rasa tentunya akan dibincang sebab mesyuarat bulanan dipercepatkan, selalunya mesyuarat MKT ini pada hujung bulan.

“Tapi kali ini dibuat di pertengahan bulan untuk kita memuktamadkan,” katanya menurut laporan Kosmo.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, keputusan sama ada ingin mengadakan PRN atau tidak akan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok.

“Itu tentulah tanggungjawab Perdana Menteri dan terpulang kepada beliau. Perkara seperti ini amat besar dan tentunya akan diputuskan dalam Kabinet agaknya.

“Difahamkan, esok akan ada mesyuarat Kabinet dan tentulah perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan. Kita tunggu keputusan dari semasa ke semasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.