MCA sasar menang 7 Parlimen PRU16

MCA sasar menang 7 Parlimen PRU16

Setiausaha Agung Chong Sin Woon berkata parti berharap dapat kembali kepada kekuatan asalnya iaitu tujuh Ahli Parlimen sebagai titik kebangkitan realistik.

Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon, berkata parti itu sedang pertimbang pelbagai pilihan, termasuk bertanding solo, menyertai kuasa ketiga, atau menerima tawaran PN bagi kerusi tradisi BN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MCA sasar untuk memenangi semula sekurang-kurangnya tujuh kerusi Parlimen pada PRU16, kata Setiausaha Agung Chong Sin Woon.

Chong berkata, parti itu yang kini mempunyai dua kerusi akan memberi tumpuan kepada kawasan di mana terdapat sokongan akar umbi yang kuat, calon berwibawa, serta jentera yang baik, berbanding mengulangi strategi lampau bertanding di banyak kerusi dengan sumber yang terhad.

“Memang kalau ada ruang kita bertanding sendiri, kita bertanding seberapa banyak yang kita mahu. Tetapi kena berpijak atas bumi nyata. Kena tengok kekuatan kita,” katanya memetik wawancara bersama Utusan Malaysia.

“Saya rasa kalau kita boleh balik sekurang-kurangnya kepada sebelum ini iaitu tujuh Ahli Parlimen, untuk satu permulaan yang bagus kembali semula, tapi kita tidak akan letak sasaran bulan dan bintang.”

Kali terakhir MCA menguasai tujuh kerusi Parlimen adalah selepas PRU2018. Jumlah itu merosot kepada dua kerusi pada 2022 – iaitu Ayer Hitam disandang Presiden Wee Ka Siong, dan Tanjung Piai disandang Naib Presiden Wee Jeck Seng.

Sebagai rakan sekutu lama Umno dalam gerakan kemerdekaan dan antara pengasas utama Barisan Nasional (BN), MCA mengikut sejarahnya menjadi suara utama bagi masyarakat Cina dalam gabungan diterajui Umno. Namun, pengaruhnya semakin merosot sejak tsunami politik 2008.

Kelangsungan hidup MCA

Chong berkata, MCA ada mempertimbangkan beberapa pilihan untuk kelangsungan parti, termasuk bertanding secara bebas di bawah logo sendiri, menyertai kuasa politik ketiga, atau menerima pelawaan Perikatan Nasional (PN) yang berulang kali menawarkan kerusi tradisi BN kepada MCA.

Beliau berkata, sentimen paling popular dalam kalangan ahli adalah bergerak solo, namun MCA perlu menilai sama ada ia mempunyai sokongan mencukupi daripada masyarakat Cina bagi memastikan langkah berkenaan boleh dilaksana.

“Adakah kita berjaya mencipta gelombang seperti mana Warisan yang boleh ‘wipe out’ (tumbangkan) DAP di semua kawasan bandar di Sabah. Kalau itu dapat dicipta MCA, itu langkah terbaik,” katanya.

Chong turut memberi amaran bahawa MCA tidak boleh menunggu Umno untuk menjelaskan kerjasamanya dengan DAP, dengan menyatakan kelewatan boleh memerangkap parti itu pada kedudukan sukar menjelang pilihan raya.

“Saya rasa kita kena buat keputusan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi BN. Namun, jika pun ada keputusan kemungkinan Umno kata ‘no DAP’, tapi adakah keputusan itu tidak akan dikhianati seperti masa lalu?” katanya.

Pada perhimpunan agung tahunan baru-baru ini, perwakilan MCA meluluskan resolusi parti itu akan keluar BN jika mana-mana parti komponen BN bekerjasama dengan DAP menjelang PRU akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.