
Pada persidangan Dewan Rakyat semalam, Timbalan Menteri Kesihatan Aaron Ago Dagang berkata, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bersetuju memansuhkan undang-undang itu, iaitu bunuh diri sebagai kesalahan jenayah dan perkara itu di peringkat untuk dibawa kepada Jemaah Menteri.
Pengerusi Befrienders KL Justin Victor berkata, beliau “amat gembira perkara itu berlaku” kerana ia adalah isu yang diperjuangkan selama ini berhubung kesihatan mental.
“Kita melihat perkara sama berlaku merata-rata tempat di seluruh negara. Apabila bunuh diri tidak dianggap sebagai perbuatan jenayah, mungkin lebih ramai yang akan tampil dan berkongsi pengalamannya tanpa berasa bimbang dan takut sekiranya tindakan undang-undang diambil,” katanya kepada FMT.
“Tanpa undang-undang yang mengancam mereka (apabila cuba membunuh diri), individu ini boleh mendapatkan bantuan daripada pakar kesihatan mental dengan lebih selesa.”
Katanya, ia juga akan membantu mengatasi stigma yang diberikan masyarakat terhadap perbuatan cubaan membunuh diri dan tidak lagi dilihat sebagai sesuatu yang negatif atau memalukan.
“Bagi seseorang yang cuba membunuh diri, tindakan itu didorong oleh tekanan masalah dihadapi dan ia menyebabkan mereka sukar berfikir dengan lebih jelas. Ini adalah masalah kesihatan yang perlu dirawat dengan rasa belas kasihan selain mengatasi stigma yang ada,” katanya.
Pengerusi bersama Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang dan Bidang Khas Majlis Peguam M Ramachelvam berkata, beliau berharap keputusan itu dapat dipersetujui “dengan segera” supaya rang undang-undang pemansuhan boleh dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.
“Langkah ini sepatutnya telah lama dilakukan. Kita adalah salah satu negara yang masih menganggap bunuh diri sebagai satu jenayah. Melihat kepada peningkatan kes, ia adalah langkah pencegahan dan individu yang mengalami kecenderungan itu boleh mendapatkan rawatan tanpa berasa takut.
“Secara jelasnya, kita boleh lihat undang-undang sedia ada tidak mengurangkan kes bunuh diri. Kita hanya melihat peningkatan kes dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini,” kata Ramachelvam yang juga menganggotai sebuah kumpulan yang memfokuskan isu terbabit di bawah Gabungan Kebangsaan untuk Kesejahteraan Mental.