
Snowdan Lawan berkata cadangan itu perlu dilihat dari pelbagai sudut termasuk aspek perlembagaan.
“Cadangan melibatkan generasi ketiga kaum Cina ini adalah sesuatu yang baharu dan perlu diteliti dengan lebih mendalam oleh pihak berkaitan,” katanya, lapor Utusan Borneo.
Snowdan mengulas kenyataan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng, yang mencadangkan agar generasi ketiga kaum Cina di Sarawak diberikan status Bumiputera, dalam satu audio siar baru-baru ini.
Sebelum ini, Utusan Borneo melaporkan beliau berkata masyarakat Cina menetap di Sarawak sejak lebih 150 tahun lalu, dan berharap kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian status Bumiputera, dalam satu hantaran di Facebook.
Sng juga menafikan dakwaan bahawa cadangannya itu bermotifkan politik perkauman, menurut laporan sama.
Snowdan menerangkan Sarawak mempunyai undang-undang menyatakan bahawa jika salah seorang ibu atau bapa merupakan anak Sarawak, maka anak mereka boleh memperoleh status berkaitan.
Beliau menambah sebarang pertimbangan perlu berpandukan Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas perlindungan hak-hak Sarawak.
“Sarawak perlu memastikan setiap cadangan diteliti dari semua sudut sebelum diputuskan,” katanya.