Lelaki warga Pakistan didakwa bunuh kenalan wanita Indonesia

Lelaki warga Pakistan didakwa bunuh kenalan wanita Indonesia

Hashmat Khan, 23, didakwa dengan sengaja membunuh seorang pekerja kedai makan di sebuah premis di Jalan 1/1A, Bandar Rinching, Semenyih, antara 25 Sept hingga 28 Sept.

Pada 28 Sept, mangsa ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian dan hanya diselimuti kain di sebuah kedai makan. (Gambar PDRM)
BANGI:
Seorang lelaki warganegara Pakistan hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi atas pertuduhan membunuh kenalan wanita warga Indonesia, yang mayatnya ditemui di sebuah kedai makan di Bandar Rinching, Semenyih, bulan lepas.

Hashmat Khan, 23, didakwa dengan sengaja membunuh Juli, 41, pekerja kedai makan di Jalan 1/1A, Bandar Rinching, Semenyih, antara 25 Sept hingga 7.33 pagi pada 28 Sept.

Tertuduh, yang bekerja sebagai pemotong rumput, didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Hashmat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Effandi Nazila Abdullah yang bertindak sebagai majistret kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 Nov depan untuk sebutan semula sementara menunggu laporan berkaitan kes tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tidak berpakaian dengan diselimuti kain di dalam kedai tersebut selepas orang awam menghubungi polis mengenai bau busuk dari dalam premis tersebut.:

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.