
Tertuduh, Toh Teck Hooi, 49, dikenakan hukuman itu selepas gagal membayar denda RM60,000 diperintahkan Mahkamah Sesyen Kajang.
Menurut Sinar Harian, dia kelihatan teresak-esak susulan dijatuhi hukuman penjara.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mendera anak kucing jantan berwarna hitam dengan kejam iaitu mencampaknya ke dinding dan tilam berulang kali di sebuah dobi di Taman Kajang Prima, 3.30 hingga 4 pagi, pada 2 April.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 29(1) akta sama.
Subseksyen itu memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 dan RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Mohd Sharif Sabran, sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh memuat naik video berdurasi 59 saat di aplikasi sosial miliknya memaparkan kesalahan itu. Sehari kemudian, Pegawai Kebajikan Haiwan, JPV Selangor menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian.
Pemeriksaan awal ke atas anak kucing tersebut mendapati, kaki kanan belakang disyaki tercedera kerana ia menunjukkan tanda tidak selesa apabila disentuh. Haiwan berkenaan juga kelihatan tidak aktif dan kurang bermaya.