Polis tahan pengasuh tular pukul, dera kanak-kanak

Polis tahan pengasuh tular pukul, dera kanak-kanak

Wanita berusia 60 tahun itu ditahan selepas ibu bapa mangsa mengenal pasti anaknya dalam video tular berkenaan.

Tangkap layar video tular yang menunjukkan seorang wanita memukul seorang kanak-kanak lelaki di bahagian belakang sebuah rumah.
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang pengasuh wanita yang videonya tular kerana memukul dan memaksa kanak-kanak duduk di luar rumah di Seremban, malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata polis menerima maklumat daripada ibu bapa mangsa yang mengenal pasti anaknya dalam video tular terbabit.

“Kira- kira 8 malam tadi, IPD Seremban menerima satu laporan berhubung kejadian penderaan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku di sebuah kawasan perumahan di Seremban dan ia disedari ibu bapa mangsa selepas melihat satu rakaman video berdurasi seminit 15 saat yang tular di media sosial” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Beliau berkata video terbabit menunjukkan seorang wanita memukul seorang kanak-kanak lelaki di bahagian belakang sebuah rumah dan mangsa dalam rakaman itu dikenal pasti kedua ibu bapanya.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dihantar ibu bapanya untuk diasuh di rumah suspek yang terletak tidak jauh dari kediaman mereka sejak kira-kira tujuh bulan lalu.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini, bagi menjalani pemeriksaan dan rawatan lanjut,” katanya.

Menurut Alzafny, bertindak atas maklumat dan siasatan dijalankan, polis menahan seorang wanita berusia 60 tahun kira-kira 9.45 malam di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Seremban pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih. Mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat Kamarul Ariffin Kamaruzaman di talian 06-6033222,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.