
Projek yang dirancang oleh Sinyi Realty Group itu turut menerima sambutan baik daripada kerajaan Sabah dengan Ketua Menteri, Hajiji Noor memberi jaminan akan memberi bantuan diperlukan untuk memudahkan pelaburan syarikat berkenaan di negeri itu.
“Pelancongan sangat penting bagi Sabah dan sebab itulah sektor ini dikenal pasti sebagai salah satu daripada tiga teras utama dalam pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Saya gembira kerana syarikat hartanah terbesar Taiwan memilih Sabah untuk pelaburan mereka. Sabah adalah salah satu negeri paling cantik di Malaysia dan banyak yang kami tawarkan dari aspek pelaburan dalam sektor pelancongan.”
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Sinyi Realty Group di Menara Kinabalu semalam.
Ketua Sinyi Realty Group, Chou Chun Chi berterima kasih kepada Hajiji dan kerajaan negeri atas sokongan terhadap pelaburan itu.
Beliau berkata, pembangunan di Pulau Mengalum akan menarik pasaran pelancongan serba mewah apabila resort itu siap kelak.
“Ia juga akan menyediakan kira-kira 2,400 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan diharapkan kami mampu membawa 97,000 pelancong ke Sabah setiap tahun.”
Selepas memperoleh lebih separuh pulau dengan harga RM266 juta pada 2019, syarikat itu merancang memulihkan bahagian pulau yang tandus dengan penghutanan semula dan terumbu karang di sekitarnya yang rosak akibat aktiviti bom ikan.
Pulau Mengalum pernah menjadi pusat kuarantin ternakan sehingga 1997.
Sebelum penularan pandemik Covid-19, pulau itu yang mengambil masa perjalanan lebih sejam dari pusat bandar raya ini amat popular dalam kalangan pelancong China.