Samun bersenjata, mahkamah kekal hukuman penjara 18 tahun bekas pekerja kilang

Samun bersenjata, mahkamah kekal hukuman penjara 18 tahun bekas pekerja kilang

Mahkamah Rayuan memutuskan tiada merit untuk mengurangkan hukuman itu.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan terhadap tiga lelaki atas kesalahan samun bersenjata dan ragut.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap seorang bekas pekerja kilang atas tiga tuduhan rompakan bersenjata, tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Mohamed Zabidin Mohd Diah berkata, Muhamad Hafizi Abd Latib melakukan dua kesalahan terhadap mangsa berlainan dalam tempoh singkat.

“Tiada merit untuk rayuan terhadap hukuman itu,” katanya yang bersidang bersama P Ravinthran dan Che Mohd Ruzima Ghazali.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman tiga sebatan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen.

Hafizi dituduh merompak RM25 daripada Asraf Kamal, selain telefon bimbit dan beg mengandungi kad pengenalan, lesen memandu serta kad debit mangsa di Jalan Seksyen 3, Bandar Baru Bangi pada jam 3.45 pagi, 10 Jan tahun lalu.

Kira-kira sejam selepas itu, tertuduh merompak Nurul Afwan Mohd Yusof dengan mengambil wang tunai RM328 dan telefon bimbitnya di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bandar Seri Putra, Bangi.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa merompak Izatey Shamsuri tiga hari sebelumnya, dengan melarikan wang berjumlah RM292 serta sepasang kasut di Bandar Baru Kajang.

Dia juga bersenjatakan pisau ketika melakukan semua rompakan itu.

Peguam Muhammad Rafique Abdul Rashid memohon mahkamah memerintahkan supaya hukuman penjara enam tahun bagi setiap dua kesalahan pertama terhadap Hafizi berjalan serentak dan mengekalkan tempoh penjara enam tahun bagi kesalahan ketiga. Mengikut hujah itu, Hafizi hanya perlu menjalani tempoh penjara 12 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nahrah Dollah menggesa mahkamah mengekalkan hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen, iaitu enam tahun bagi setiap tiga tuduhan yang berjalan secara berasingan, berjumlah 18 tahun.

Sementara itu, dalam kes berasingan mahkamah membenarkan sebahagian rayuan penganggur, G Selvaraj bagi kesalahan ragut.

Tempoh penjara 10 tahun terhadapnya dikekalkan, namun mahkamah membenarkan hukuman empat sebatan terhadapnya dikurangkan kepada dua sebatan.

Selvaraj meragut beg milik Dayang Feezeey Abang Abdul yang mengandungi RM100 dan tiga kad debit di sebuah kedai serbaneka pada 2 Mei 2019.

Selain itu, dalam satu lagi kes, mahkamah mengekalkan hukuman penjara 13 tahun dan empat sebatan terhadap seorang lagi penganggur, Mohamed Rasheed Mohamed Hussain, bagi tuduhan rompakan bersenjata.

Rasheed didakwa melakukan kesalahan itu bersama dua yang lain dengan melarikan RM475 dan telefon bimbit di kaunter sambut tetamu sebuah hotel di Subang Jaya, pada jam 3.45 pagi 28 Jan 2017.

Dua rakan Rasheed dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan selepas mengaku salah dan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.