Usaha pecahkan ‘kebisuan’, ubah stigma penyakit mental, kata UNICEF

Usaha pecahkan ‘kebisuan’, ubah stigma penyakit mental, kata UNICEF

Kesihatan mental tidak patut dilihat sebagai topik larangan, sebaliknya perlu ditangani secara terbuka, berterus-terang dan belas kasihan, kata wakil UNICEF Malaysia.

Keibubapaan yang berkesan memainkan peranan penting dalam mengurangkan masalah kesihatan mental yang mungkin dihadapi anak-anak, kata Wakil UNICEF bagi Malaysia dan Wakil Khas bagi Brunei Darussalam Dr Rashed Mustapha Sarwar. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Komitmen dan pelaburan daripada pelbagai pihak diperlukan dalam usaha mengubah trajektori penjagaan kesihatan mental di Malaysia, kata Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi Malaysia dan Wakil Khas bagi Brunei Darussalam Dr Rashed Mustapha Sarwar.

Beliau berkata pelaburan itu bukan hanya dari segi kewangan tetapi juga masa, selain mengubah bentuk mentaliti dan stigma rakyat Malaysia dalam menyediakan penjagaan kesihatan mental serta sokongan psikososial.

“Kami kini berusaha memecahkan kebisuan yang menyelubungi penyakit mental. Ia bukan satu topik larangan, sebaliknya yang perlu kita tangani secara terbuka, berterus terang dan paling penting, dengan belas kasihan.

“Bukan hanya mereka yang terjejas boleh meluahkan perasaan. Kita perlu mendengar dengan teliti dan penuh belas ihsan, tanpa sebarang pendapat/penilaian.

“Wujudkan satu persekitaran yang prihatin untuk golongan remaja meminta pertolongan dan meluahkan masalah mereka,” katanya dalam ucapan pembukaan sempena pelancaran Laporan UNICEF ‘The State of World’s Children 2021; On My Mind: Promoting, Protecting and Caring for Children’s Mental Health’ di Wisma Bernama hari ini.

Rashed berkata UNICEF di Malaysia sudah berusaha menangani isu itu termasuk menjalin kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA) untuk memperkukuh kapasiti kaunselor sekolah serta guru pendidikan khas dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial untuk murid, ibu bapa serta guru.

UNICEF turut bekerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk menghasilkan modul bagi memperkukuh sokongan keibubapaan yang merangkumi cara bagaimana membantu ibu bapa menangani perlindungan kanak-kanak secara dalam talian.

Dr Rashed berkata keibubapaan yang berkesan mempunyai peranan penting dalam mengurangkan masalah kesihatan mental yang mungkin dihadapi anak-anak.

Presiden PERKAMA Dr Abdul Halim Mohd Hussin pula berkata persatuan itu memiliki 14 modul untuk melatih kaunselor sekolah dan guru pendidikan khas di Malaysia dalam memberikan sokongan kesihatan mental.

“Antara 14 modul itu ialah pembinaan karektor, motivasi diri, sokongan tele-psikososial, isu perlindungan kanak-kanak serta prosedurnya dan gaya keibubapaan positif,” katanya semasa perbincangan antara generasi sempena pelancaran laporan UNICEF.

Beliau berkata Malaysia memiliki dasar yang baik dalam menyokong kesihatan mental termasuk mempunyai seorang kaunselor bagi setiap 500 pelajar di sekolah namun mencadangkan bahawa nisbah seorang kaunselor bagi setiap 300 pelajar adalah lebih baik.

Berdasarkan anggaran global terkini, lebih seorang daripada setiap tujuh remaja berusia lingkungan 10 hingga 19 dianggarkan hidup bersama gangguan mental yang didiagnosis di seluruh dunia manakala hampir 46,000 remaja mati akibat bunuh diri setiap tahun, yang merupakan antara lima punca kematian tertinggi bagi kumpulan umur mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.